PEKA B40, MEDIPULIH SERAH KAD RAHMAH BLOOM MEKAR KEPADA 84 ANAK ASNAF

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BUKIT KATIL 12 Oktober – Seramai 84 anak-anak penerima bantuan zakat berusia 18 hingga 25 tahun menerima Kad Rahmah Bloom Mekar pada Program Himputan Bitara Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Tahun 2026 di Masjid Al-Ehsan, Bukit Baru, di sini, pada Ahad.

Ketua Strategi Korporat MediPulih Abuzar Ghifari Abd Rahman berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya dalam membantu golongan memerlukan khususnya anak-anak asnaf yang sedang dan akan melanjutkan pengajian.

Katanya, pemberian kad Rahmah Bloom Mekar itu diharap dapat meringankan sedikit bebanan penerima seterusnya membantu menguruskan perbelanjaan harian ketika menuntut ilmu terutama dalam keadaan ekonomi mencabar ketika ini.

“Kesemua 84 penerima adalah dalam kalangan keluarga penerima zakat yang mana mereka ini memang layak untuk diberi bantuan.

“MediPulih merupakan pihak swasta dan kita mahu mengembalikan semula manfaat kepada masyarakat melalui inisiatif seperti ini dan semoga dengan usaha dilaksanakan dapat membantu serta meringankan beban sepanjang mereka melanjutkan pelajaran,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, Abuzar Ghifari turut memaklumkan MediPulih turut menjalinkan kerjasama strategik bersama MAIM menerusi Badan Sukarelawan At-Takwa bagi melaksanakan pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan di negeri ini.

Mengulas lanjut, Abuzar Ghifari berkata, Kad Rahmah Bloom Mekar itu menawarkan potongan harga RM20 bagi membantu penerima mendapatkan perkhidmatan kesihatan dengan nilai lebih rendah berbanding di klinik-klinik swasta lain.

Tambahnya, sehingga kini MediPulih telah mengedarkan lebih 10,000 kad Rahmah Bloom Mekar menerusi rangkaian Klinik MediPulih bukan sahaja di Melaka tetapi di beberapa negeri lain termasuk Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

“Potongan RM20 ini mungkin nampak kecil bagi sesetengah pihak, tetapi bagi golongan memerlukan, jumlah ini memang banyak dan kita harap semua penerima kad ini dapat menggunakan serta memanfaatkannya sebaik mungkin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

686
Kongsi :
Previous post STL 2026: MELAKA TITANS BURU SEBANYAK MUNGKIN GELARAN
Next post KESIHATAN MENTAL REMAJA: KENALI TANDA, BERIKAN SOKONGAN AWAL