KESIHATAN MENTAL REMAJA: KENALI TANDA, BERIKAN SOKONGAN AWAL

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 12 Oktober – Kira-kira satu daripada 10 remaja bersekolah berusia 13 hingga 17 tahun melaporkan pernah membuat rancangan untuk membunuh diri dalam tempoh 12 bulan mengikut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022: Kesihatan Remaja.

Pakar Psikiatri Pantai Hospital Melaka, Dr. Gayathri K. Kumarasuriar berkata data itu perlu diberi perhatian serius kerana tekanan dihadapi remaja hari ini semakin kompleks.

Menurutnya, 26.9 peratus menunjukkan gejala kemurungan berdasarkan saringan PHQ-9. Angka ini tidak bermaksud semua responden tersebut telah menerima diagnosis klinikal kemurungan.

“Dalam tempoh 12 bulan sebelum tinjauan, 16.2 peratus melaporkan berasa sunyi kebanyakan masa atau sepanjang masa, manakala 12.9 peratus melaporkan tidak dapat tidur pada waktu malam kerana kebimbangan kebanyakan masa atau sepanjang masa.

“Selain itu, 13.1 peratus mempunyai pemikiran untuk membunuh diri dalam tempoh 12 bulan sebelum tinjauan, 10 peratus mempunyai rancangan membunuh diri dan 9.5 peratus pernah cuba membunuh diri.

“Angka ini tidak seharusnya dilihat sekadar statistik kerana setiap peratusan mewakili anak muda yang sedang melalui proses membesar dan belajar menjadi dewasa,” katanya ketika ditemu bual Melaka Hari Ini di Pantai Hospital Melaka.

Katanya, dunia remaja kini turut berubah apabila tekanan rakan sebaya tidak lagi berakhir selepas waktu persekolahan, sebaliknya boleh berterusan menerusi telefon pintar dan media sosial.

“Jumlah tanda suka, pengikut dan komen boleh menjadi ukuran penerimaan sosial, manakala fear of missing out (FOMO) boleh menambahkan tekanan bagi sesetengah remaja,” katanya.

Dr. Gayathri berkata, ibu bapa, guru dan masyarakat perlu menilai semula jumlah tuntutan yang diletakkan terhadap remaja, selain memberikan ruang, sokongan dan kemahiran mencukupi untuk mereka mengurus tekanan.

“Kita perlu berhenti hanya bertanya mengapa mereka begitu tertekan, sebaliknya bertanya apakah yang kita sebagai ibu bapa, guru dan masyarakat sedang tuntut daripada mereka.

“Remaja yang mengalami tekanan emosi digalakkan berkongsi masalah dengan orang dewasa yang dipercayai serta mendapatkan bantuan profesional.

“Jika berdepan situasi berbahaya atau berisiko mencederakan diri, mereka perlu segera menghubungi talian kecemasan 999 atau mendapatkan rawatan di jabatan kecemasan hospital terdekat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

492
Kongsi :
Previous post PEKA B40, MEDIPULIH SERAH KAD RAHMAH BLOOM MEKAR KEPADA 84 ANAK ASNAF
Next post JEREBU: SEMUA SEKOLAH DI MELAKA TUTUP ESOK