
HITS PERNAMA RINGANKAN BELANJA DAPUR KELUARGA TENTERA
SUNGAI UDANG 17 Oktober – Perbezaan harga lebih RM10 bagi sekampit beras mungkin kelihatan kecil, namun bagi Eva Shalyana Shahrom, 34, penjimatan itu cukup bermakna dalam mengurus perbelanjaan keluarga.
Isteri anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berkata, penawaran beras basmathi pada harga RM30 berbanding lebih RM40 di pasaran luar antara yang menarik perhatiannya ketika mendapatkan barangan keperluan menerusi Kempen Harga Istimewa Tentera Sejahtera (HITS) di outlet Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA), Kem Terendak.
Menurutnya, harga berpatutan itu membolehkannya membeli barangan keperluan keluarga dengan lebih jimat, termasuk menyediakan hidangan seperti nasi minyak dan nasi briyani tanpa perlu berbelanja besar.
“Bagi saya, inisiatif ini sangat bagus dan berbaloi kerana lebih jimat, lebih murah dan semua barang keperluan yang biasanya kita cari di luar sudah ada di dalam kem.
“Kalau boleh, saya memang berharap kempen ini diteruskan kerana kita tidak perlu lagi menunggu promosi tertentu untuk mendapatkan barangan pada harga berpatutan,” katanya.
Eva Shalyana ditemui Melaka Hari Ini selepas Majlis Peluncuran Kempen Harga Istimewa Tentera Sejahtera (HITS) sempena Lawatan Menteri Pertahanan ke Kem Terendak, di sini, pada Khamis
Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sementara itu, Zuridatul Mokhtar, 45, berkata penawaran harga munasabah menerusi kempen itu memberi manfaat kepada keluarga anggota daripada pelbagai latar belakang pendapatan, khususnya keluarga yang mempunyai ramai anak.
Katanya, inisiatif berkenaan wajar diteruskan kerana membantu keluarga anggota tentera mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih berpatutan.
“Saya sangat menggalakkan inisiatif ini diteruskan kerana ia benar-benar membantu keluarga anggota tentera mendapatkan barangan pada harga yang lebih berpatutan,” katanya.
Untuk rekod inisiatif HITS PERNAMA menawarkan harga istimewa bagi pembelian barangan keperluan harian sepanjang masa tanpa had kuota pembelian, sebagai usaha membantu meringankan beban kos sara hidup warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga mereka.
isteri atm 1 – EVA Shalyana (kanan) bersama Zuridatul (kiri) ditemui Melaka Hari Ini pada Majlis Peluncuran Kempen Harga Istimewa Tentera Sejahtera (HITS) sempena Lawatan Menteri Pertahanan di Kem Terendak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


