TOK RAUF SAYANG, JAGA ABANG RIDER MASJID TANAH

Masa Membaca:3 Minit, 6 Saat

TANJUNG BIDARA 17 Oktober – Atas dasar semangat sayangkan rakyat, kini satu persatu beban membelenggu pekerja gig khusus di Masjid Tanah, dirungkai menerusi pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

Semuanya tercetus apabila Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turun padang untuk berjumpa, berdiskusi dan memahami secara jelas serta terperinci masalah dilalui penunggang p-hailing dan e-Hailing setiap kali meninggalkan rumah demi ikhtiar mencari rezeki.

Tidak cukup sekadar mendengar, Ab Rauf mencabar diri dengan menjadi penghantar makanan bagi merasai sendiri kesukaran yang dialami golongan berkenaan.

Bukan sekadar berjanji, selangkah demi selangkah, beliau memikirkan ikhtiar bagi meringankan beban golongan berkenaan bermula dari detik pertama meninggalkan rumah hingga kembali semula ke pangkuan keluarga.

Mungkin ada yang berkata, inisiatif meringankan kos penyelenggaraan motosikal (menukar minyak hitam) tidaklah seberapa, namun sebagai langkah kecil perkara itu amat menggembirakan ‘Abang Rider’.

Selain itu usaha juga digerakkan untuk membela aspek kebajikan serta keselamatan penunggang kedua-dua perkhidmatan itu menerusi perlindungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Komitmen Ab Rauf mendapat reaksi yang amat positif dalam kalangan Abang Rider kerana ada pihak amat prihatin dan cakna terhadap kehidupan mereka.

Apa tidaknya berbeza dengan rakan yang makan gaji segala persiapan mencari rezeki termasuk motosikal dan peralatan berkenaan adalah menggunakan perbelanjaan sendiri.

Malah sebarang risiko berbahaya terutamanya kemalangan sepanjang bekerja adalah ditanggung oleh diri sendiri.

IMG 20261017 WA0005
MOHD Shadan.

Penunggang p-hailing Mohd Shadan Jamaluddin, 35, berkata caruman PERKESO amat penting bagi memastikan kebajikan keluarganya terus terbela sekiranya dia ditimpa kecelakaan hingga menjejaskan keupayaannya untuk mencari nafkah.

“Caruman PERKESO ini sangat bagus kerana sekiranya berlaku apa-apa kepada kami, anak dan isteri masih boleh mendapat pembelaan serta bantuan sewajarnya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

IMG 20261017 WA0008
MOHD Fairuz.

Sementara itu, Mohd Fairuz Hamzah, 39, berkata sebagai anak jati Masjid Tanah, dia teruja dengan inisiatif diumumkan Ketua Menteri, khususnya bantuan minyak hitam yang berpotensi mengurangkan kos operasi rider p-hailing.

Menurutnya, kekerapan penggunaan motosikal menyebabkan minyak hitam perlu diganti dalam tempoh singkat, malah ada masanya ‘servis’ perlu dilakukan setiap satu hingga dua minggu bergantung kepada jarak perjalanan atau penggunaan harian.

“Penjimatan kos penyelenggaraan sebanyak 50 peratus memang dapat meringankan beban kami sebagai rider, lebih-lebih lagi ketika kos sara hidup semakin meningkat.

“Caruman PERKESO pula penting kerana sekiranya berlaku kemalangan, kami berpeluang mendapatkan perlindungan dan bantuan mengikut kelayakan. Saya berharap inisiatif ini dapat diteruskan kerana ia memberi semangat kepada kami untuk terus mencari rezeki,” katanya.

IMG 20261017 WA0001
MUHAMMAD Izzauddyn.

Bagi Muhammad Izzauddyn Azleen, 30, bantuan minyak hitam yang dirancang khusus untuk rider p-hailing di Masjid Tanah turut memberi makna besar kepada golongan berkenaan kerana motosikal menjadi antara keperluan utama untuk menjalankan tugas.

“Bantuan ini bukan sahaja dapat meringankan beban kos penyelenggaraan, malah usaha menyediakan caruman PERKESO untuk semua rider di Melaka juga penting bagi membantu menjamin masa depan pekerja gig,” katanya.

IMG 20261017 WA0002
NURUL Asyifaa.

Sementara itu, Nurul Asyifaa Osman, 27, berkata dia berbesar hati apabila kebajikan pekerja gig, termasuk golongan wanita, turut diberikan perhatian menerusi usaha memperluas perlindungan PERKESO kepada rider di seluruh Melaka.

“Ketua Menteri tidak lokek dalam memberikan bantuan yang membawa manfaat kepada kami. Sebagai rider wanita, saya sangat berbesar hati kerana ada pemimpin yang mengambil berat tentang nasib pekerja gig seperti kami,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri pada Program Sembang Santai Geng E-Hailing dan P-Hailing Bersama Tok Rauf memaklumkan Kerajaan Negeri sudah meluluskan peruntukan bagi membantu kos penyelenggaraan minyak hitam petugas p-hailing di Masjid Tanah, manakala kaedah pelaksanaannya akan dimaklumkan kemudian.

Ab Rauf turut menyatakan usaha membantu semua penunggang p-hailing di Melaka mendapatkan caruman PERKESO.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

491
Kongsi :
Previous post TOK RAUF MAHU RIDER MELAKA DILINDUNGI CARUMAN PERKESO