INISIATIF NO RIGHT TURN, GO STRAIGHT TINGKAT KECEKAPAN PENGURUSAN TRAFIK MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 18 Oktober – Kualiti pengurusan trafik Negeri Melaka menjadi lebih cekap menerusi inisiatif ‘No Right Turn’ dan ‘Go Straight’ yang terbukti berjaya menyuraikan aliran trafik terutamanya pada waktu puncak.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, inisiatif No Right Turn setakat ini melibatkan 12 lokasi strategik di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah.

Katanya, inisiatif itu mula dilaksanakan di Persimpangan Stadium Hang Jebat pada September 2023 dan berdasarkan kepada keberkesanan ditunjukkan ia kemudian diperluaskan ke Kandang dan Sungai Duyong, Melaka Mall, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka di Ayer Keroh, Bukit Rambai serta Ayer Keroh Height.

“Bagi tahun ini inisiatif No Right Turn melibatkan dua lagi lokasi baharu iaitu Persimpangan Dataran Klebang bermula Januari lalu dan Persimpangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh yang memulakan operasi pada 12 Mei lalu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Hameed berkata, inisiatif Go Straight pula dilaksanakan di Persimpangan Industri HICOM-Pegoh, Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) bertujuan  melancarkan aliran trafik khusus bagi kenderaan menghala ke Tol Simpang Ampat.

Jelasnya, hasil pelaksanaan inisiatif itu kenderaan tidak perlu lagi berhenti di persimpangan berkenaan sebaliknya boleh meneruskan perjalanan, sekali gus menjimatkan masa pemandu untuk tiba di destinasi.

Tambahnya, satu lagi inisiatif penyuraian trafik dilaksanakan Kerajaan Negeri adalah menaik taraf persimpangan kepada bulatan yang dilihat lebih berkesan untuk melancarkan aliran kenderaan pada waktu puncak.

“Simpang tiga Parit Melana, Durian Tunggal dinaik taraf kepada bulatan pada tahun lalu, selain itu simpang tiga Solok Duku pula dinaik taraf kepada bulatan pada September lalu.

“Diharapkan usaha dan inisiatif dilaksanakan memberikan impak dalam memperkukuh kelancaran pergerakan kenderaan, sekali gus meningkatkan tahap kecekapan pengurusan trafik di Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

377
Kongsi :
Previous post ‘DAK BABY’ MULA BELAJAR BERGAYUT
Next post RUNDINGAN AKHIR TENTUKAN AGIHAN KERUSI BN DI LIMA DUN PARLIMEN ALOR GAJAH