
‘DAK BABY’ MULA BELAJAR BERGAYUT
AYER KEROH 18 Oktober – Tujuh bulan selepas dilahirkan, ‘Dak Baby’, anak ungka tangan putih di Zoo Melaka, kini semakin aktif meneroka persekitaran dan mula mempelajari kemahiran asas kehidupan dengan memerhati tingkah laku ibunya.
Anak ungka yang dilahirkan pada Februari lalu hasil pasangan Momo dan Manja itu kini mula mengenali makanan, termasuk mempelajari cara memakan buah-buahan, selain berlatih bergayut dan memanjat.
Penjaga Bahagian Primat Zoo Melaka, Mohd Azzalizad berkata, pada usia itu, anak ungka berkenaan masih banyak bergantung kepada ibunya dan mempelajari pelbagai perkara melalui pemerhatian serta interaksi bersama haiwan berkenaan.
“Pada usia tujuh bulan ini, dia sedang belajar cara makan buah-buahan melalui pemerhatian terhadap ibunya.
“Kadang-kadang kita boleh melihat dia mula berlatih bergayut dan memanjat, tetapi ibunya masih berada berdekatan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, perkembangan fizikal anak ungka itu juga semakin ketara berbanding ketika dilahirkan, di mana ketika itu bulunya masih belum tumbuh dengan jelas.
Katanya, anak Ungka Tangan Putih lazimnya akan terus berada di sisi ibunya sehingga berusia kira-kira dua tahun bagi mempelajari kemahiran dan tingkah laku sebelum semakin berdikari.
Perkembangan ‘Dak Baby’ itu turut memberi peluang kepada pengunjung Zoo Melaka untuk melihat sendiri proses tumbesaran spesies primat berkenaan, khususnya interaksi antara anak dan ibunya.
Pengunjung yang bertuah berpeluang menyaksikan gelagat ‘Dak Baby’ ketika meneroka persekitarannya, termasuk ketika mula berlatih bergayut dan memanjat di kawasan primat Zoo Melaka atau Pulau Ungka Tangan Putih.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

