
MBMB PERUNTUK RM14.3 JUTA NAIK TARAF PERPARITAN, KURANGKAN RISIKO BANJIR
AYER KEROH 18 Oktober – Sebanyak RM14.3 juta diperuntukkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi melaksanakan 27 projek baik pulih dan naik taraf sistem perparitan di kawasan pentadbirannya di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, projek berkenaan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keupayaan sistem perparitan bagi mengurangkan risiko banjir serta masalah air bertakung yang boleh menjejaskan keselesaan dan keselamatan penduduk.
Katanya, daripada keseluruhan 27 projek itu, empat sudah siap dilaksanakan manakala 23 lagi masih dalam pelaksanaan.
“Antara kawasan yang terlibat ialah Taman Desa Duyong, Bertam Perdana, Kampung Pulau Kelapa Peringgit, Taman Rambai Utama, Taman Bukit Senjuang, Taman Bertam Impian dan Taman Mutiara Pokok Mangga.
“Projek turut dilaksanakan di Taman Pandan Mawar, Taman Pandan Jaya, Rumah Awam Bertam Malim, Taman Alai Perdana, Taman Seri Duyong Seksyen 2, Taman Cheng Perdana dan Taman Seri Krubong,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, projek berkenaan turut melibatkan Taman Krubong Jaya, Taman Desa Taming Sari Sungai Udang, Taman Kenanga Seksyen 3, Taman Wan Show, Taman Rambai Jaya, Taman Tanjung Minyak, Rumah Awam Bertam Ulu, Taman Keris Emas Sungai Udang, Taman Rambai Indah, Jalan Malim berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Cina serta Bandar Baru Sungai Udang.
Shadan berkata, pelaksanaan langkah penambahbaikan itu menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah aduan berkaitan masalah perparitan dilaporkan berkurangan sebanyak 30 peratus.
“Bagaimanapun, masih terdapat projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan dan usaha ini akan diteruskan bagi memastikan masalah perparitan dapat ditangani dengan lebih berkesan.
“Kita mahu mengurangkan risiko banjir yang boleh mengganggu kehidupan harian penduduk, selain memastikan persekitaran kediaman lebih selesa dan selamat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, MBMB turut melaksanakan kerja pembersihan longkang monsun dan struktur lintasan air (crossing) di Jalan Bukit Baru susulan isu banjir di kawasan berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

