
MELAKA PERUNTUK RM10.9 JUTA NAIK TARAF FASILITI SUKAN, INSENTIF ATLET DITERUSKAN
AYER KEROH 18 Oktober – Kerajaan Negeri Melaka telah meluluskan peruntukan berjumlah RM10.9 juta menerusi Bajet Negeri Melaka 2026 khusus untuk kerja-kerja naik taraf fasiliti sedia ada dan pembinaan infrastruktur sukan baharu.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelaburan berskala besar itu membabitkan projek naik taraf Dewan Badminton Majlis Sukan Negeri, naik taraf kemudahan fasiliti sukan, bina baharu lapang sasar memanah di Ayer Keroh dan pembaikan kemudahan sukan komuniti setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Namun, komitmen kita tidak terhenti pada pembangunan infrastruktur semata-mata. Kita mahu mengangkat pembangunan sukan ke satu dimensi yang lebih menyeluruh, dengan memberikan penekanan kepada pengesanan bakat, pembangunan atlet pelapis, pengukuhan kepakaran ke jurulatih an serta peluasan penyertaan sukan dalam kalangan rakyat.
“Setiap gelanggang dibina mesti ada manfaatnya, setiap kemudahan disediakan mesti ada penggunanya. Kita mahu prasarana sukan menjadi ruang untuk anak-anak muda mengasah bakat, keluarga beriadah dan masyarakat membudayakan gaya hidup sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negeri (HSN) 2026 Peringkat Negeri Melaka di Kompleks Belia dan Sukan Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam.
Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim dan lain-lain kenamaan.
Sehubungan itu beliau mahu Jabatan Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negeri Melaka, persatuan-persatuan sukan serta semua pihak berkaitan agar terus memperkukuh sinergi dan memperkemas rantaian pembangunan atlet, bermula dari sekolah dan komuniti sehinggalah ke pentas sukan berprestasi tinggi.
“Jangan kita hanya mencari juara apabila tiba musim kejohanan, sedangkan juaa perlu dicungkil bakatnya, digilap potensinya dan dibentuk kehebatannya sejak peringkat akar umbi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


