
DARI TANGAN WANITA CINA, TERHASIL HANTARAN RAJA SEHARI MELAYU
MERLIMAU 18 Oktober – Selama empat dekad, Tan Ah Lee, 63, tekun menghasilkan barangan jahitan dan sulaman untuk hantaran perkahwinan masyarakat Melayu, menjadikan kemahiran yang dipelajarinya sendiri sebagai sumber rezeki dan khidmat kepada pelanggan pelbagai kaum.
Menariknya, usahawan berketurunan Cina itu bukan sahaja menyediakan barangan dan kelengkapan hantaran, malah sedia mengajar pelanggan secara percuma yang mahu menyiapkan sendiri hantaran perkahwinan mereka.
Ah Lee berkata, kira-kira 90 peratus pelanggannya terdiri daripada masyarakat Melayu yang mendapatkan pelbagai barangan jahitan dan sulaman bagi melengkapkan persiapan majlis perkahwinan.
Katanya, kepercayaan pelanggan sepanjang tempoh perniagaannya menjadi antara faktor yang membolehkannya terus bertahan dalam bidang berkenaan.
“Kalau pelanggan datang beli barang tetapi tidak tahu cara membuatnya, saya akan ajar mereka secara percuma supaya mereka tahu bagaimana hendak mengurus dan menyiapkan hantaran itu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Berkongsi perjalanan dalam bidang itu, Ah Lee berkata, dia mempelajari sendiri teknik menjahit dan menyulam hantaran dengan merujuk buku serta majalah yang dibelinya sekitar era 1980-an dan 1990-an.
Dia yang berasal dari Umbai dan kini menetap di Merlimau merupakan generasi pertama dalam keluarganya yang menceburi bidang berkenaan.
Sepanjang lebih 40 tahun mengusahakan perniagaan itu, Ah Lee terus menyediakan barangan mengikut keperluan pelanggan, khususnya bagi membantu mereka melengkapkan persiapan hantaran perkahwinan.
Walaupun berasal daripada latar belakang kaum berbeza, perniagaan yang diusahakannya memperlihatkan bagaimana kemahiran, kepercayaan dan sikap saling membantu boleh merentasi perbezaan masyarakat.
Bagi Ah Lee, kemahiran yang dimiliki bukan sekadar untuk menghasilkan barangan jualan, malah boleh dikongsi supaya pelanggan turut berpeluang menyiapkan sendiri hantaran istimewa untuk hari bahagia mereka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


