MELAKA SASAR BUDAYAKAN SUKAN, LEBIH 30 AKTIVITI DITAWARKAN

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 18 Oktober – Lebih 30 aktiviti sukan dan rekreasi ditawarkan sempena Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 Peringkat Negeri Melaka bagi menggalakkan penyertaan masyarakat, memupuk perpaduan serta membudayakan gaya hidup sihat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pengisian sambutan merangkumi aktiviti kecergasan dan rekreasi, sukan rakyat dan tradisional, e-sukan serta sukan inklusif untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

Menurutnya, kepelbagaian aktiviti itu membuka peluang kepada masyarakat daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang untuk bersama-sama bersukan, sekali gus menjadikan aktiviti fizikal sebagai medium mengeratkan hubungan antara generasi.

“Lebih daripada itu, HSN bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi satu gerakan nasional untuk membina masyarakat yang lebih sihat, aktif dan bersatu padu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan HSN 2026 Peringkat Negeri Melaka di Kompleks Belia dan Sukan Melaka, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim.

Sambutan tahun ini turut mengetengahkan tema sukan dan teknologi kecerdasan buatan (AI), yang berperanan membantu menganalisis prestasi, menambah baik kaedah latihan serta mengenal pasti potensi atlet.

Namun tegas beliau, kemajuan teknologi perlu bergerak seiring dengan disiplin, kesungguhan dan semangat juang atlet bagi melahirkan lebih ramai atlet berdaya saing.

“Penganjuran HSN diharap dapat menyemarakkan minat masyarakat untuk menjadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada rutin harian, selain menggalakkan penglibatan lebih ramai golongan muda dalam bidang sukan,” katanya.

Selain itu beliau turut berkongsi kejayaan kontinjen Melaka meraih 50 pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, terdiri daripada 21 emas, 12 perak dan 17 gangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

435
Kongsi :
Previous post 280 USAHAWAN COKLAT NEGARA RAIH JUALAN RM18.2 JUTA
Next post DARI TANGAN WANITA CINA, TERHASIL HANTARAN RAJA SEHARI MELAYU