
280 USAHAWAN COKLAT NEGARA RAIH JUALAN RM18.2 JUTA
BANDA HILIR 18 Oktober – Seramai 280 usahawan coklat di bawah bimbingan Lembaga Koko Malaysia (LKM) mencatatkan nilai jualan produk hiliran melebihi RM18.2 juta pada 2025, membuktikan potensi besar industri koko dalam menghasilkan produk bernilai tambah tinggi.
Ketua Pengarah LKM Shari Fuddin Shaβari berkata, pencapaian itu didorong pelaksanaan program penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemindahan teknologi serta khidmat bimbingan teknikal yang membantu usahawan meningkatkan mutu dan daya saing produk masing-masing.
Katanya, bimbingan diberikan merangkumi pembangunan produk, reka bentuk pembungkusan, pengurusan pensijilan kualiti dan penyertaan dalam aktiviti promosi bagi membantu usahawan memperluas pasaran.
βJika dahulu petani secara tradisinya hanya menghasilkan biji koko kering untuk dijual kepada peniaga, rantaian itu terhenti setakat itu sahaja.
βJadi, LKM melihat potensi besar untuk melengkapkan rantaian berkenaan supaya biji koko kering dapat diproses menjadi produk coklat yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi,β katanya kepada ketika ditemui pada program A Malaysian Cocoa Affair 2026 yang dirasmikan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di Mahkota Parade, di sini, hari ini.
Shari Fuddin berkata, antara inisiatif yang diketengahkan ialah projek rintis Koperasi Kluster Koko Sarawak yang membolehkan teknologi pemprosesan koko dibawa lebih dekat kepada petani dan usahawan untuk menghasilkan produk coklat sendiri.
Katanya, koperasi berkenaan memproses biji koko dari empat lokasi di Sarawak bagi menghasilkan coklat berkonsepkan βsingle originβ iaitu produk yang menonjolkan ciri rasa dan aroma berdasarkan kawasan asal biji koko.
βPusat operasi dan pendidikan kluster di Kota Samarahan berperanan memproses biji koko kering berkenaan bagi mengetengahkan keunikan profil rasa yang dipengaruhi kawasan penanaman.
βPendekatan ini bukan sahaja membuka peluang kepada petani menambah nilai hasil tanaman, malah membolehkan produk koko tempatan dibezakan menerusi identiti dan ciri tersendiri,β katanya.
Dalam pada itu, Shari Fuddin berkata, LKM turut memberi tumpuan kepada peluasan kawasan penanaman koko bagi memastikan bekalan bahan mentah dapat menyokong perkembangan industri hiliran negara.
Katanya, Sabah kekal sebagai negeri pengeluar utama koko negara, diikuti Sarawak, manakala sokongan peruntukan kerajaan dijangka membantu lebih ramai petani memulakan penanaman koko.
βAlhamdulillah, baru-baru ini Perdana Menteri mengumumkan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia dan kita menerima peruntukan seperti yang diminta bagi membantu petani yang ingin mula menanam koko.
βKawasan penanaman sudah ada dan dengan peruntukan ini, insya-Allah industri koko negara dapat terus berkembang pada masa akan datang,β katanya.
Beliau turut menggalakkan golongan muda menceburi industri koko, khususnya dalam pemprosesan dan penghasilan produk hiliran yang menawarkan peluang untuk membangunkan perniagaan serta menembusi pasaran lebih luas.
Katanya, kerjasama antara petani, usahawan dan agensi berkaitan penting bagi memastikan rantaian industri koko berkembang daripada pengeluaran bahan mentah kepada penghasilan produk berkualiti tinggi yang mampu bersaing di pasaran antarabangsa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


