
MELAKA TUBUH KOPERASI BANTU USAHAWAN MUALAF BERSINAR
BANDARAYA MELAKA 18 Oktober – Penubuhan Koperasi Mualaf Melaka Berhad dijangka membuka ruang lebih luas kepada usahawan mualaf untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, memperluas jaringan perniagaan serta memasarkan produk secara lebih tersusun.
Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, koperasi berkenaan sudah didaftarkan pada peringkat jawatankuasa penaja dan mendapat kelulusan penubuhan, sekali gus menjadi langkah awal dalam membina platform ekonomi bersama bagi golongan berkenaan.
Katanya, penubuhan koperasi itu berpotensi membantu usahawan mualaf bergerak secara kolektif, berkongsi peluang serta meneroka ruang perniagaan yang lebih luas berbanding usaha secara individu.
“Penubuhan koperasi ini berpotensi menjadi wadah kepada usahawan mualaf untuk bergerak secara kolektif, selain meneroka peluang kerjasama bagi mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Seminar Usahawan Mualaf Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di sebuah hotel di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Pegawai Syariah dan Kelestarian Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Mohd Nazri Chik; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad serta kenamaan lain.
Abdul Halim berkata, koperasi itu turut berpotensi menjadi saluran untuk mempromosikan produk keluaran usahawan mualaf secara lebih sistematik, sekali gus membantu meningkatkan keterlihatan produk mereka dalam pasaran.
Bagaimanapun, katanya, usaha memperluas pemasaran perlu disusuli perancangan rapi bagi mengenal pasti strategi bersesuaian dengan jenis produk, keupayaan pengeluaran dan keperluan pasaran.
“Usaha memperluas pasaran produk memerlukan perancangan dan tindakan susulan bagi mengenal pasti pendekatan terbaik untuk membantu usahawan memenuhi keperluan pasaran,” katanya.
Seminar berkenaan disertai 80 usahawan mualaf dan menjadi antara platform untuk meningkatkan pengetahuan keusahawanan serta membuka peluang kepada peserta membina jaringan perniagaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

