
PRN MELAKA: BN BAWA MISI 4-0 DI PARLIMEN TANGGA BATU
SUNGAI UDANG 18 Oktober – Barisan Nasional (BN) Parlimen Tangga Batu akan memastikan kesiapsiagaan jentera pilihan raya di keempat-empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam usaha merealisasikan sasaran menyumbang empat kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin berkata, persiapan rapi telah dilaksanakan bukan sahaja di DUN Sungai Udang, malah turut merangkumi Paya Rumput, Pantai Kundor dan Klebang.
Menurutnya, kesiapsiagaan jentera di Paya Rumput tidak dipinggirkan malah turut menjadi keutamaan dengan kawasan berkenaan mempunyai 25 cawangan UMNO.
“Persediaan itu telah kita buat secara rapi, baik di Sungai Udang dan tidak juga sesekali kita melupakan jentera di Paya Rumput.
“Paya Rumput..kalau UMNO cawangan sahaja ada 25 cawangan, jadi kerana itu kita akan pastikan kesiapsiagaan bukan sahaja di Sungai Udang, malah di Paya Rumput, di Klebang dan Pantai Kundor semua jentera mesti bersiap sedia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Tangga Batu yang disempurnakan Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Bilik Gerakan Utama Parlimen Tangga Batu di Bandar Baru Sungai Udang, di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Rais berkata pihaknya menyasarkan kemenangan di semua empat DUN dalam Parlimen Tangga Batu bagi menyumbang kepada pembentukan Kerajaan Negeri selepas PRN akan datang.
“Saya yakin dan percaya, baik Sungai Udang, atau Paya Rumput, Pantai Kundor dan Klebang, apa yang paling penting kita mahu pastikan seluruh Parlimen Tangga Batu ini kita boleh menang.
“Kita bertekad untuk sumbang empat kerusi kepada pembentukan Kerajaan Negeri pada Pilihan Raya Negeri akan datang, insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Rais berkata, Tangga Batu menjadi Parlimen pertama di Melaka yang melancarkan jentera BN dengan menghimpunkan lebih 1,000 anggota jentera dan penyokong daripada keempat-empat DUN.
Katanya, majlis berkenaan turut disertai wakil BN dari Kedah dan Perak, termasuk Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Azian Osman.
Pada PRN Melaka Ke-15 yang berlangsung pada 20 November 2021 yang lalu, BN memenangi tiga daripada empat kerusi DUN dalam Parlimen Tangga Batu, iaitu Pantai Kundor, Paya Rumput dan Klebang.
Ketiga-tiga kerusi itu masing-masing dimenangi Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim dengan majoriti 827 undi, Datuk Rais Yasin (629 undi) dan Datuk Lim Ban Hong (876 undi).
Bagaimanapun, DUN Sungai Udang dimenangi calon PN, Dr. Mohd Aleef Yusof yang menewaskan calon BN dengan majoriti 530 undi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

