AB RAUF MAHU LAHIRKAN PELAPIS KEPIMPINAN MUDA UMNO

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

SUNGAI UDANG 18 Oktober – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berazam membimbing dan membentuk barisan kepimpinan muda sebagai pelapis yang mampu meneruskan kesinambungan perjuangan parti pada masa depan.

Beliau berkata, usaha melahirkan generasi pemimpin baharu penting dalam memastikan UMNO terus mempunyai barisan kepimpinan berwibawa yang mampu menggalas tanggungjawab serta mendepani cabaran politik semasa.

Menurutnya, antara pemimpin muda yang menjadi tumpuan ialah Ketua Pemuda UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin , Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin.

“Saya nak beritahu kepada semua kepimpinan, terutamanya Dr. Akmal Saleh, terutamanya kepada Rais, pemimpin muda yang akan meniti kehidupan yang jauh akan datang.

“Dalam usia mereka muda ini, saya berazam untuk mendidik mereka menjadi pemimpin dan tokoh warisan kepada kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Parlimen Tangga Batu, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka merangkap Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin; Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali serta Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Melaka Datuk Wira Lim Ban Hong.

Turut bersama, Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Azian Osman serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah parti bukan sahaja bergantung kepada kepimpinan sedia ada, malah memerlukan kerjasama dan kesepaduan semua peringkat bagi memastikan perjuangan terus relevan.

Katanya, pengalaman menghadapi kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 perlu dijadikan pengajaran kepada generasi kepimpinan baharu supaya sentiasa bersedia menghadapi sebarang cabaran politik.

Beliau turut menegaskan kepentingan mengamalkan politik yang matang tanpa menjadikan kebencian, fitnah dan serangan terhadap pihak lawan sebagai asas perjuangan.

“Kita tidak mengamalkan politik kebencian. Kita tak mengamalkan politik fitnah,” katanya.

Justeru, beliau mahu kepimpinan muda terus memperkukuh kesatuan parti dan membuktikan kemampuan menerusi khidmat serta usaha membela kepentingan rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

459
Kongsi :
Previous post BN TEKAD KUASAI EMPAT DUN PARLIMEN TANGGA BATU
Next post PRN MELAKA: BN BAWA MISI 4-0 DI PARLIMEN TANGGA BATU