SENTUHAN KASIH EMGS RINGANKAN BEBAN 300 PENDUDUK TELOK MAS

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

TELOK MAS 19 Oktober – Seramai 300 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas menerima manfaat menerusi sumbangan bantuan kewangan dan kit makanan berjumlah RM30,000 daripada Education Malaysia Global Services (EMGS).

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah (B40) khususnya dalam mendepani peningkatan kos sara hidup serta perbelanjaan keperluan asas keluarga.

Katanya, kenaikan harga barangan keperluan, perbelanjaan persekolahan anak-anak dan komitmen harian memberi tekanan kepada keluarga berpendapatan rendah yang memerlukan sokongan berterusan.

“Sumbangan daripada EMGS ini diharap dapat membantu penerima memenuhi sebahagian keperluan asas keluarga, sekali gus mengurangkan beban perbelanjaan harian.

“Walaupun nilainya mungkin tidak besar namun diharapkan bantuan ini dapat serba sedikit menanggung keperluan asas untuk keluarga penerima,”katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih EMGS, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Abdul Razak turut menzahirkan penghargaan kepada EMGS dan semua pihak yang menjayakan program berkenaan, termasuk wakil masyarakat dan pihak penganjur yang bekerjasama memastikan bantuan dapat disampaikan kepada penduduk setempat.

Abdul Razak berharap inisiatif kebajikan seumpama itu dapat diteruskan secara konsisten pada masa hadapan menerusi kerjasama pelbagai pihak, termasuk sektor swasta, pertubuhan masyarakat dan individu dalam kawasan Telok Mas.

“Usaha ini penting bagi memupuk semangat keprihatinan serta membina masyarakat yang lebih bersatu padu dan saling membantu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

705
Kongsi :
Previous post AB RAUF, KETUA MENTERI ‘GRED A’