MELAKA DIIKTIRAF TERBAIK DALAM MALAYSIA URUS ADUAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 20 Oktober – Kecekapan sistem pengurusan dan penyelesaian aduan rakyat di Melaka menerima pengiktirafan Ketua Setiausaha Negara (KSN) sebagai antara pencapaian terbaik di Malaysia, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap permasalahan rakyat diberikan perhatian.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pengiktirafan itu membuktikan keberkesanan pentadbiran negeri yang mendapat kerjasama padu barisan Exco dalam melaksanakan tanggungjawab serta memastikan keperluan rakyat dapat ditangani dengan cekap.

Menurutnya, pencapaian berkenaan turut didorong pelaksanaan dasar Melaka Sayang Rakyat yang memberi penekanan kepada usaha menyantuni masyarakat menerusi pelbagai inisiatif dan penyelesaian masalah di peringkat akar umbi.

“Kita baru menerima pengiktirafan daripada Ketua Setiausaha Negara di Putrajaya yang mengatakan bahawa pencapaian sistem aduan dan penyelesaian aduan di negeri Melaka adalah satu-satunya yang terbaik di Malaysia.

“Ia menggambarkan kecekapan pentadbiran serta komitmen Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran saya, dengan kerjasama ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Exco dalam menguruskan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya Sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di Dewan World Youth Foundation (WYF), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN Melaka Datuk Rais Yasin; Pengerusi BN Parlimen Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Pengerusi MCA Negeri Melaka Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengerusi BN Parlimen Alor Gajah Datuk Fairul Nizam Roslan; Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka Datuk Kalsom Noordin serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, antara pendekatan utama yang dilaksanakan ialah program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang membawa pentadbiran Kerajaan Negeri turun padang ke setiap kawasan bagi mendengar aduan, pandangan dan cadangan masyarakat setempat.

Katanya, menerusi program itu, pandangan serta aduan yang dikemukakan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) diselaraskan di peringkat Kerajaan Negeri bagi mengenal pasti tindakan dan penyelesaian bersesuaian.

Menurutnya, pendekatan berkenaan membolehkan kerajaan mengenal pasti keperluan sebenar penduduk, termasuk bantuan kepada golongan memerlukan.

“Kita telah menyantuni pelbagai aduan dan menyediakan pelbagai inisiatif kepada rakyat supaya mereka dapat meneruskan kehidupan.

“Kita berkhidmat untuk rakyat. Jangan fikir rakyat berkhidmat untuk wakil rakyat dan jangan minta rakyat menyambut kita. Sebaliknya, kita yang perlu turun padang dan mendengar masalah mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

226
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BN YAKIN RAMPAS SEMULA DUN AYER KEROH DAN BUKIT KATIL
Next post SANDIWARA BERMULA, RAKYAT MELAKA TAHU SIAPA YANG BERJUANG