SANDIWARA BERMULA, RAKYAT MELAKA TAHU SIAPA YANG BERJUANG

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER KEROH 20 Oktober – Rakyat Melaka diyakini tidak mudah terpedaya dengan pelbagai tawaran dan janji manis yang bakal muncul menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, susulan rekod pembangunan dan pencapaian yang telah dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, rakyat perlu menilai setiap tawaran berdasarkan rekod khidmat dan keupayaan sebenar pihak yang bertanding, bukannya terpengaruh dengan pelbagai pendekatan yang hanya muncul ketika musim pilihan raya.

Menurutnya, pelbagai tawaran dan sumbangan dijangka akan digunakan untuk meraih sokongan pengundi, namun rakyat Melaka lebih mengetahui keperluan negeri itu serta pihak yang benar-benar berusaha membangunkannya.

“Sandiwara pilihan raya negeri akan bermula dalam bulan ini. Pelbagai sandiwara akan cuba memujuk hati rakyat Melaka dengan pelbagai habuan dan sumbangan.

“Kita kena terus berpijak di bumi Melaka dan menjunjung langit Melaka. Mereka yang datang dari luar dan tidak tahu bagaimana kerja kita, pengorbanan kita serta pencapaian kita, tiba-tiba mahu bercerita tentang Melaka.

“Minta maaf, orang Melaka lebih tahu Melaka daripada orang luar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya Sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di Dewan World Youth Foundation (WYF), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN Melaka Datuk Rais Yasin; Pengerusi BN Parlimen Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Pengerusi MCA Negeri Melaka Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengerusi BN Parlimen Alor Gajah Datuk Fairul Nizam Roslan; Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka Datuk Kalsom Noordin serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, pengalaman politik lalu perlu dijadikan pengajaran oleh UMNO, BN dan rakan gabungan untuk memperkukuh kerjasama bagi memastikan mandat pentadbiran negeri dapat dipertahankan.

Beliau turut mengingatkan bakal calon, jentera dan penggerak pilihan raya BN supaya tidak menjadikan kelemahan pihak lawan sebagai modal kempen, sebaliknya menumpukan perhatian kepada pencapaian sendiri serta usaha memenuhi keperluan rakyat.

Katanya, BN tidak perlu menggunakan politik fitnah, kebencian atau hasutan untuk meraih sokongan, sebaliknya perlu meyakinkan pengundi menerusi rekod pentadbiran dan pembangunan yang telah dilaksanakan di Melaka.

“Kita tidak perlu bertempur di medan fitnah, medan keburukan atau medan hasutan. Yang penting, kita tahu kita telah membina Melaka dan negeri ini telah menikmati hasil pentadbiran yang diterajui UMNO bersama parti komponen kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

239
Kongsi :
Previous post MELAKA DIIKTIRAF TERBAIK DALAM MALAYSIA URUS ADUAN RAKYAT
Next post ‘NAK JADI WAKIL RAKYAT, JANGAN TIBA-TIBA TURUN DARI LANGIT’