
‘NAK JADI WAKIL RAKYAT, JANGAN TIBA-TIBA TURUN DARI LANGIT’
AYER KEROH 20 Oktober – Sesiapa sahaja yang mahu menjadi wakil rakyat tidak boleh hanya muncul ketika pilihan raya untuk memperkenalkan diri dan menabur janji, sebaliknya perlu terlebih dahulu memahami denyut nadi masyarakat serta membuktikan khidmat kepada rakyat.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, wakil rakyat perlu meletakkan diri sebagai sebahagian daripada masyarakat dan sentiasa mendekati penduduk, bukannya hanya mencari pengundi apabila tiba musim pilihan raya.
“Siapa yang mahu menjadi wakil rakyat, dia kena jadi rakyat dulu. Tak boleh tiba-tiba turun dari langit, masa pilihan raya baru nak cari orang, baru nak kenalkan diri dan beritahu apa yang dia boleh buat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya Sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di Dewan World Youth Foundation (WYF), di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN Melaka Datuk Rais Yasin; Pengerusi BN Parlimen Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Pengerusi MCA Negeri Melaka Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengerusi BN Parlimen Alor Gajah Datuk Fairul Nizam Roslan; Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka Datuk Kalsom Noordin serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran beliau telah membuktikan komitmen tinggi menyantuni rakyat dalam pelbagai inisiatif sejak tiga tahun lalu.
Jelas beliau, pendekatan tersendiri itu demi memastikan kebajikan dan permasalahan rakyat diberikan perhatian secara berterusan, di mana ia diterjemah menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang masuk ke kampung-kampung di 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Melaka.
Menurutnya, usaha mendekati rakyat tidak terhenti menerusi WRUR sahaja, malah diteruskan melalui program Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT) yang membuka ruang kepada masyarakat untuk mengemukakan aduan dan mendapatkan penyelesaian secara langsung di Seri Negeri setiap 45 hari.
Malah, kata beliau, segala aspek pembangunan berkaitan sekolah, klinik kesihatan, jalan raya dan infrastruktur diselaraskan mengikut portfolio Exco masing-masing.
“Itulah kaedah yang ada di negeri Melaka. Kita memastikan setiap permasalahan rakyat dapat dibawa kepada pihak yang bertanggungjawab untuk diteliti dan diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan perkhidmatan kepada rakyat dilaksanakan secara berterusan, bukan hanya ketika berdepan pilihan raya.
Mengulas suasana menjelang PRN Melaka Ke-16, Ab Rauf berkata, rakyat mempunyai kebebasan untuk menilai pelbagai tawaran dan program yang dibawa parti politik, namun keputusan akhir tetap bergantung kepada pertimbangan mereka terhadap rekod khidmat dan kemampuan setiap calon.
“Dia nak buat Jualan Rahmah, nak pasang khemah tujuh hari tujuh malam, silakan. Yang penting, rakyat Melaka sudah tahu siapa yang mereka hendak pilih,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


