SORAKAN TAK RUNTUHKAN BUKIT, JENTERA BN JANGAN LEKA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 21 Oktober – Barisan Nasional (BN) Melaka mengingatkan seluruh jentera parti supaya tidak leka dengan sorakan dan semangat ketika berhimpun, sebaliknya perlu terus memperkukuh gerak kerja bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, semangat yang ditunjukkan jentera perlu diterjemahkan kepada kerja keras bagi mendapatkan kepercayaan rakyat.

“Saya nak ingatkan kepada semua jentera kita, jangan leka. Jangan leka bertepuk tangan, kerana nyamuk banyak mati bila ditepuk.

“Jangan suka bersorak-sorak, kerana anjing menyalak bukit, bukit tak akan runtuh,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Hang Tuah Jaya sempena PRN Melaka Ke-16 di Dewan World Youth Foundation (WYF), di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata, BN perlu membina kekuatan yang kukuh dan tidak mudah goyah dalam menghadapi cabaran politik, selain memastikan perjuangan parti terus diperkasakan.

“Saya mahu kita jadi gunung yang kukuh. Kerana dengan kekukuhan dan semangat ini, tiada siapa pun boleh meruntuhkan kekuatan dan peradaban kita untuk terus memperjuangkan UMNO dan Barisan Nasional,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka yakin semangat yang ditunjukkan jentera BN Parlimen Hang Tuah Jaya mampu menjadi pemangkin kepada usaha merampas semula Ayer Keroh dan Bukit Katil, selain mempertahankan Pengkalan Batu serta Ayer Molek.

Katanya, BN turut meletakkan sasaran untuk merampas semula kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya pada Pilihan Raya Umum akan datang.

“Hang Tuah Jaya, saya mengucapkan terima kasih. Semangat yang ditunjukkan pada malam ini, saya yakin kita boleh merampas semula Ayer Keroh, saya yakin boleh merampas semula Bukit Katil, boleh mempertahankan Pengkalan Batu dan Ayer Molek. Selepas itu kita tunggu pilihan raya umum, kita rampas semula Hang Tuah Jaya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1443
Kongsi :
Previous post RAKYAT MAHU PEMIMPIN BEKERJA, BUKAN SEKADAR TABUR JANJI