RAKYAT MAHU PEMIMPIN BEKERJA, BUKAN SEKADAR TABUR JANJI

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 21 Oktober – Rakyat hari ini semakin matang menilai kepimpinan dan tidak lagi mudah terpengaruh dengan janji manis, sebaliknya mahukan pemimpin yang membuktikan komitmen menerusi khidmat serta tindakan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, pemimpin perlu sentiasa dekat dengan rakyat, mendengar masalah serta hadir ketika masyarakat berdepan kesusahan, bukan hanya muncul apabila tiba musim pilihan raya.

Menurutnya, perjuangan politik bukan sekadar mengejar jawatan dan kedudukan, tetapi membawa amanah serta tanggungjawab untuk memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian.

“Rakyat mahu pemimpin yang dekat dengan mereka, yang hadir ketika susah dan senang, yang mendengar masalah, bercakap benar dan bekerja dengan ikhlas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Hang Tuah Jaya Sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 yang disempurnakan Pengerusi BN Melaka merangkap Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dewan World Youth Foundation (WYF), di sini, pada Selasa.

Mohd Ridhwan berkata, pemimpin bekerja dan berkhidmat telah dibuktikan sendiri oleh Ketua Menteri sepanjang mentadbir Melaka termasuk membuka peluang pekerjaan, mengembangkan perniagaan serta merancang pembangunan negeri secara tersusun.

Katanya, pembangunan yang dilaksanakan telah memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat dan bukan hanya dinilai berdasarkan kemajuan fizikal seperti pembinaan bangunan atau jalan raya.

“Pembangunan sebenar ialah apabila rakyat mendapat pekerjaan, peniaga mendapat peluang dan anak-anak kita mempunyai masa depan yang lebih baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

495
Kongsi :
Previous post ORANG BERI AMBIL, UNDI SIAPA ITU HAK RAKYAT
Next post SORAKAN TAK RUNTUHKAN BUKIT, JENTERA BN JANGAN LEKA