
ORANG BERI AMBIL, UNDI SIAPA ITU HAK RAKYAT
AYER KEROH 20 Oktober – Rakyat bebas menerima sumbangan daripada mana-mana pihak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, namun hak menentukan pilihan politik masing-masing tidak seharusnya dipengaruhi oleh bantuan yang diterima.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sumbangan yang diberikan kepada masyarakat tidak bermakna penerimanya perlu memberikan sokongan kepada parti yang menyalurkannya.
Mengulas tindakan pihak lawan yang menyalurkan sumbangan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Hang Tuah Jaya, beliau berkata rakyat tidak perlu menolak bantuan berkenaan, sebaliknya bebas menentukan parti pilihan mereka ketika mengundi.
“Musim PRN ini memang akan ada pihak yang akan memberi. Mereka datang untuk memberikan sumbangan dan bantuan, tak apa, kita terima sahaja.
“Kita terima, orang beri kita ambil, orang sumbang kita terima, tetapi mereka tidak boleh menghalang kita daripada mengundi siapa yang kita mahu. Kita tetap akan undi biru,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Hang Tuah Jaya sempena PRN Melaka Ke-16 di Dewan World Youth Foundation (WYF), di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN Melaka Datuk Rais Yasin; Pengerusi BN Parlimen Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Pengerusi MCA Negeri Melaka Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengerusi BN Parlimen Alor Gajah Datuk Fairul Nizam Roslan dan Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka Datuk Kalsom Noordin.
Terdahulu, dalam ucapannya, Ab Rauf turut menegaskan bahawa rakyat Melaka berhak menerima sumbangan daripada mana-mana pihak tanpa perlu berasa terikat untuk memberikan sokongan politik kepada pemberi bantuan.
Katanya, rakyat mempunyai kebijaksanaan untuk menilai calon dan parti yang diyakini mampu mentadbir negeri sebelum membuat keputusan pada hari pengundian.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


