
‘SAYA MAHU JADI PULAU, WALAU DIPUKUL BADAI TIDAK HANYUT KE PANTAI’ – AB RAUF
AYER KEROH 20 Oktober – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menegaskan pendiriannya untuk terus mempertahankan bumi Melaka daripada sebarang cabaran politik, selagi amanah dan tanggungjawab kepimpinan masih diberikan kepadanya.
Menggunakan metafora tebing dan pulau, beliau berkata, dirinya tidak mahu menjadi seperti tebing yang semakin terhakis apabila dipukul ombak dan badai, sebaliknya memilih untuk menjadi pulau yang kekal teguh walaupun berdepan gelora sebesar mana sekalipun.
Menurutnya, prinsip dan keteguhan pendirian amat penting dalam memastikan perjuangan mempertahankan agama, bangsa dan negara tidak mudah digugat oleh tekanan atau cabaran.
“Saya tidak mahu menjadi tebing yang dipukul ombak dan badai kerana tebing boleh terhakis apabila berdepan badai yang kuat.
“Tetapi saya mahu menjadi sebuah pulau. Walaupun dipukul badai, pulau tidak akan hanyut ke tepi pantai,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya Sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di Dewan World Youth Foundation (WYF), di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN Melaka Datuk Rais Yasin; Pengerusi BN Parlimen Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Pengerusi MCA Negeri Melaka Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengerusi BN Parlimen Alor Gajah Datuk Fairul Nizam Roslan; Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka Datuk Kalsom Noordin serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, keteguhan pendirian itu menjadi prinsip yang dipegangnya dalam meneruskan tanggungjawab sebagai Pengerusi BN Melaka, khususnya ketika negeri itu bakal menghadapi PRN.
Katanya, sebarang tekanan dan cabaran tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengorbankan prinsip perjuangan, sebaliknya perlu dihadapi dengan kekuatan serta keyakinan terhadap matlamat yang ingin dicapai.
“Ombak dan badai boleh pukul, ribut dan tsunami boleh datang. Mungkin pantai boleh roboh, tetapi pulau tidak akan hanyut ke pantai.
“Pulau itu akan tetap kukuh mempertahankan strukturnya dalam perjuangan menegakkan agama, bangsa dan negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


