MELAKA TERUS MARTABAT BAHASA KEBANGSAAN

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER KEROH 21 Oktober – Kerajaan Negeri Melaka komited untuk terus memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu serta wahana penyatuan rakyat Malaysia menerusi kerjasama berterusan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Melaka, Datuk Maslina Baki berkata, usaha memartabatkan bahasa kebangsaan perlu dilaksanakan secara bersama, termasuk melalui komitmen penjawat awam dalam memastikan penggunaan bahasa Melayu terus diperkukuh dalam urusan rasmi.

“Di bumi Melaka, tidak perlu gusar. Kami menyambut baik apa yang telah diperkatakan bahawa penjawat awam perlu memartabatkan bahasa kebangsaan dan insya-Allah, kita bersama-sama dengan DBP untuk memperkasakan bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selaku wakil rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-70 Peringkat Zon Selatan serta Penutupan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan 2026 di Panggung Seri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah DBP Datuk Dr. Hazami Jahari; Pengarah Penerbit Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Ts. Dr. Ruziah Ali serta lain-lain kenamaan.

Menurutnya, sambutan ulang tahun itu menjadi kesempatan untuk menghargai jasa dan perjuangan DBP sepanjang tujuh dekad dalam memartabatkan bahasa Melayu, selain memperkukuh iltizam untuk meneruskan agenda berkenaan pada masa hadapan.

Beliau berkata, sepanjang 70 tahun penubuhannya, DBP memainkan peranan besar dalam perkembangan bahasa dan persuratan Melayu menerusi penerbitan bahan ilmiah, karya kreatif serta bahan rujukan, selain melaksanakan penyelidikan dan kegiatan pengembangan bahasa serta kesusasteraan.

Maslina berkata, tema sambutan ulang tahun kali ini, ‘Restu Jiwa Pahlawan’ membawa makna cukup mendalam mengenai semangat perjuangan, keberanian dan pengorbanan dalam mempertahankan bahasa Melayu sebagai asas jati diri bangsa.

“Pemilihan Melaka sebagai lokasi sambutan peringkat Zon Selatan juga bertepatan dengan sejarah negeri ini yang mempunyai kaitan erat dengan perjuangan dan kepahlawanan Melayu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan penguasaan bahasa asing dalam dunia tanpa sempadan tidak seharusnya menyebabkan masyarakat mengabaikan bahasa kebangsaan yang menjadi asas identiti dan kehidupan bernegara.

“Kita boleh menguasai pelbagai bahasa, tetapi bahasa Melayu perlu terus menjadi salah satu asas identiti dan kehidupan bernegara kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

317
Kongsi :
Previous post 729 PESERTA, SATU MISI HIJAUKAN ZOO MELAKA