PRN MELAKA: BN UMUM CALON 24 OKTOBER, MUKTAMAD KERJASAMA DENGAN PAS

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

LENDU 21 Oktober -Barisan Nasional (BN) sudah memuktamadkan kerjasama dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 pada 14 November nanti.

Pengerusi BN Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata berdasarkan rundingan yang berlangsung parti itu akan terus mempertahankan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada PRN Melaka yang lalu.

Katanya, sementara itu PAS dan ‘rakan-rakan’ pula akan bertanding di tujuh lagi kerusi DUN yang lain.

“Apa yang penting rundingan sudah dimuktamadkan, inilah kata-kata muktamad ingin saya kongsikan kepada rakan-rakan media.

“Kita akan menggunakan logo BN, mereka terserah kepada kepimpinan mereka,” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Melaka Bermunajat: Majlis Ratib Al-Attas & Asmaulhusna di Masjid Salmah Khamis, Masjid Tanah, di sini, malam ini.

Hadir sama Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Timbalan Pengerusi BN Melaka Datuk Rais Yasin serta kenamaan lain.

Ahmad Zahid juga mengesahkan BN Melaka akan mengumumkan calon yang bertanding pada PRN Melaka ke-16, 24 Oktober ini.

Kenyataan Ahmad Zahid menjawab persoalan berhubung tarikh sebenar pengumuman calon oleh BN susulan khabar angin dan tular di media sosial termasuk dalam bentuk poster memaklumkan majlis itu akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC),

Berdasarkan poster yang tular, majlis itu dijadualkan berlangsung serentak dengan Pelancaran Jentera BN Melaka pada jam 8.30 malam.

Terdahulu pada pelancaran jentera BN Parlimen Hang Tuah Jaya, semalam, Ab Rauf memaklumkan tarikh pengumuman calon BN ditetapkan pada 28 Oktober ditukar kepada satu tarikh akan dimaklumkan kelak.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Pakatan Harapan (PH) juga dijadualkan mengumumkan calon mereka pada tarikh samaΒ  di perkarangan Stadium Hang Jebat.

Perikatan Nasional (PN) pula dijangka mengumumkan calon parti itu pada minggu hadapan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

299
Kongsi :
Previous post AI BUKAN ANCAMAN, TAPI PELUANG MARTABAT BAHASA MELAYU – DBP