PRN MELAKA: CCTV, DRON BANTU POLIS PANTAU KESELAMATAN

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 22 Oktober – Polis akan memanfaatkan sistem pengawasan kamera litar tertutup (CCTV), dron dan peralatan berkaitan dalam penugasan bagi memastikan kelancaran perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Dzulkhairi Mukhtar berkata penggunaan peralatan berkenaan merupakan sebahagian daripada persediaan penugasan polis sepanjang proses demokrasi itu berlangsung.

Menurutnya, ketenteraman dan keselamatan awam menjadi fokus utama pihaknya, sekali gus memastikan perjalanan pilihan raya berlangsung dalam keadaan terkawal dan aman.

“Kita ada pasukan-pasukan khas yang akan menggunakan gajet-gajet tersebut, CCTV, dron dan sebagainya bagi memastikan kelancaran pilihan raya nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Taklimat Sempena PRN Melaka di Auditorium, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini hari ini.

Dzulkhairi mengingatkan individu mahupun mana-mana parti politik yang mahu menggunakan dron supaya mendapatkan kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) terlebih dahulu.

“Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan alat-alat macam dron sebab penggunaan dron ini memerlukan kebenaran.

“Malah pihak polis sendiri memohon kelulusan daripada CAAM untuk menerbangkan dron dalam penugasan sepanjang PRN,” katanya.

Terdahulu, seramai 140 wakil parti politik seluruh Melaka menghadiri taklimat berkenaan bagi mendengar penerangan mengenai perkara yang dibenarkan dan tidak dibenarkan menjelang serta sepanjang pilihan raya.

Taklimat itu turut melibatkan wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dzulkhairi berkata pendekatan itu bertujuan memudahkan urusan parti politik, selain membantu mereka memahami peraturan berkaitan pelaksanaan kempen.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

304
Kongsi :
Previous post TOK RAUF SELESA DUDUK SEMEJA, DENGAR SUARA HATI RAKYAT