PRN MELAKA: POLIS INGATKAN JAGA SENSITIVITI BERKAITAN 3R SEPANJANG PRN

Masa Membaca:51 Saat

AYER KEROH 22 Oktober – Semua pihak diingatkan supaya peka dan menjaga sensitiviti isu agama, kaum dan institusi diraja (3R), sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Polis Melaka Datuk Wira Dzulkhairi Mukhtar berkata, ingatan itu bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sekali gus menjamin ketenteraman awam sepanjang PRN nanti.

“Ketiga-tiga perkara itu perlu diberi perhatian bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat. Isu 3R ke, isu fitnah ke atau isu ketenteraman awam. Tiga perkara ini perlu dijaga.

“Fokus kita adalah ketenteraman dan keselamatan,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Sempena PRN Melaka di Auditorium, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, pihaknya sedang menyiasat dua kes membabitkan kandungan media sosial yang didakwa mengandungi unsur fitnah terhadap sebuah parti politik di negeri ini.

“Kedua-dua laporan itu dibuat pada 14 Oktober lalu. Kandungan media sosial itu didakwa mengundang ketidakpuasan hati beberapa pihak. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 273 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

268
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: CCTV, DRON BANTU POLIS PANTAU KESELAMATAN