
RINDU MASAKAN SARAWAK, ROHADATUL BINA PERNIAGAAN AYAM MADU BORNEO DI MELAKA
BANDARAYA MELAKA 23 Oktober – Bermula dengan kerinduan dan mengidam untuk menjamah ayam madu Borneo mendorong Rohadatul Atsy Abdullah, 45, menyediakan sendiri hidangan itu yang juga makanan popular di Sarawak.
Katanya, dia mula menyediakan sendiri makanan itu kerana kesukaran untuk mencari peniaga yang menjual ayam madu Borneo di negeri ini, ketika baharu berhijrah ke Melaka.
Dia juga tidak menduga penyediaan hidangan yang pada mulanya untuk melepaskan kerinduan menjamah hidangan dari negeri kelahiran sendiri, kini bertukar menjadi sumber pendapatan buatnya dan keluarga.
Berkongsi kisahnya Rohadatul berkata, ketika mula berhijrah ke semenanjung dia melakukan pelbagai pekerjaan seperti operator kilang dan menjadi pembantu kedai makan.
“Apabila sudah mahir menyediakan hidangan ini saya mula berniaga di rumah sewa di Taman Melaka Baharu pada 2015, namun asap ketika memasak daging ayam mengganggu jiran, berikutan itu saya buka gerai tepi jalan dan pasar malam.
“Pengalaman menyediakan hidangan ini mendorong saya melakukan inovasi iaitu menghasilkan pati perapan serbaguna pada 2025. Inovasi ini adalah susulan permintaan yang amat menggalakkan dalam kalangan pelanggan,” katanya.
Usahawan mualaf itu berkata, pati perapan itu juga sesuai untuk menyediakan hidangan berasaskan daging dan makanan laut seperti sotong, udang serta ikan,” katanya.
Selain meneruskan jualan ayam madu Borneo, Rohadatul kini turut memasarkan pati perapan serbaguna itu di premis perniagaannya di Medan Selera Kraftangan, Jalan Zoo Melaka, berhadapan Tasik Ayer Keroh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


