
CSR ZOO MELAKA: BERBAKTI SAMBIL MENIKMATI ALAM
AYER KEROH 23 Oktober – Keluar daripada rutin pejabat untuk menanam pokok, mengecat dan membersihkan persekitaran zoo memberi pengalaman berbeza kepada peserta Program Zoo Clean and Green Day di Zoo Melaka.
Ketua Unit Integriti, Jabatan Ketua Menteri Melaka S Anuradah berkata, penyertaan dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bukan sahaja membolehkannya menyumbang tenaga, malah menyegarkan minda menerusi aktiviti luar.
“Biarpun pertama kali menyertai program CSR di Zoo Melaka, suasana alam semula jadi serta peluang melakukan aktiviti yang jarang dilakukan dalam rutin harian menjadikan pengalaman ini menyeronokkan.
“Apabila kita menyertai program seperti ini, minda dan badan pun sihat, selain dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat.
“Kumpulan saya ditempatkan di Zon E bagi aktiviti mengecat, menanam pokok dan menyapu daun kering untuk menceriakan kawasan zoo,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Sementara itu, kakitangan Melaka Hari Ini, Nurin Husna Hishamuddin berkata, program itu memberinya peluang mengenali alam sekitar dan haiwan dengan lebih dekat, selain berkenalan dengan peserta daripada agensi lain.
Katanya, aktiviti seperti menanam pokok, menyapu sampah dan mengecat turut memberikan pengalaman baharu yang berbeza daripada tugasan harian.
“Golongan muda di luar sana bolehlah menyertai program CSR seperti ini kerana kita berpeluang mendapat pengalaman baharu serta mengenali alam sekitar dan haiwan di zoo,” katanya.

Manakala Pengarah Bahagian Khidmat Musaadah dan Pembangunan Belia, Jabatan Ketua Menteri Melaka Sha’ari Samsudin berkata, penglibatan pelbagai jabatan dalam program itu membolehkan usaha menceriakan persekitaran zoo dilaksanakan menerusi kerjasama berpasukan.
“Saya bersama rakan sepasukan ditempatkan di Zon F untuk menanam pokok serta melakukan aktiviti di kawasan habitat orang utan dan gajah.
“Menerusi program ini kakitangan kerajaan dapat melihat sendiri usaha yang boleh dilakukan untuk mengindahkan persekitaran zoo,” katanya.
Terdahulu program berkenaan telah disempurnakan oleh Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

