SEBALIK DERITA KANAISEN, ‘YB ALONG’ HADIR BAWA SINAR

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

ASAHAN 23 Oktober – Ketika dia dalam kelelahan menanggung pelbagai beban dan dunia umpama meminggirkan dirinya, P Kanaisen, 58, menderita akibat masalah diabetes kembali tersenyum selepas menerima kunjungan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan.

Kunjungan Fairul Nizam yang juga mesra disapa YB Along itu turut menceriakan Kanaisen yang akan menyambut pesta cahaya atau Deepavali tidak lama lagi.

Katanya, akibat diabetes tubuhnya lemah hingga tidak mampu melakukan kerja-kerja berat, malah untuk bergerak juga terbatas kesan akibat masalah kesihatan yang dialaminya.

“Saya buntu, badan tidak berdaya tetapi pada masa yang sama perlu sediakan wang belanja untuk meneruskan kehidupan seperti bayar sewa rumah dan beli ubat bagi merawat penyakit.

“Sekatang ini saya bergantung sepenuhnya kepada anak saudara, pendapatannya tidak besar dan bekerja di ladang getah bersebelahan rumah sewa kami,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Jus Perdana.

Kanaisen berkata, ziarah YB Along bukan sekadar untuk bertanyakan khabar sebaliknya membawa sinar bagi dirinya yang amat mengharapkan ihsan orang lain bagi meneruskan kehidupan ketika ini.

Menurutnya, pada ziarah itu Yb Along meninjau sendiri keadaan rumah sewanya dan berbincang berhubung bentuk keperluan atau bantuan yang amat sesuai serta perlu bagi meringankan beban hidupnya.

Bagi Kanaisen, perhatian yang diberikan itu membawa makna besar buat dirinya, apatah lagi kehadiran seorang figura yang membawa sinar untuk membantunya mendapatkan bantuan yang bersesuaian menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Sebab itulah saya amat berterima kasih kepada YB Along kerana sudi membantu saya. Terima kasih atas bantuan yang diberikan kerana sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban saya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

431
Kongsi :
Previous post CSR ZOO MELAKA: BERBAKTI SAMBIL MENIKMATI ALAM
Next post DUN SARAWAK BUBAR BERKUAT KUASA 26 OKTOBER – ABANG JOHARI