
SIKAP MESRA, RENDAH DIRI AB RAUF DISENANGI RAKYAT
KESIDANG 23 Oktober – Kunjungan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke Tokong Pak Tiam Keong yang berusia 100 tahun disifatkan sebagai penghormatan bermakna kepada komuniti setempat selain mencerminkan keterbukaan kepimpinan dalam mendekati masyarakat tanpa mengira kaum.
Pengerusi Tokong Pak Tiam Keong, Gary Lim berkata, pihaknya amat berbesar hati menerima kunjungan itu yang turut mencerminkan sokongan berterusan Kerajaan Negeri terhadap rumah ibadat serta usaha memperkukuh perpaduan masyarakat di Melaka.
“Pada saya, Ketua Menteri seorang yang sangat mesra dan merendah diri, walaupun pemimpin negeri, beliau tidak bersikap sombong, sebaliknya mudah bergaul dengan semua orang.
“Terima kasih atas sokongan berterusan kepada semua rumah ibadat. Kami amat hargai kunjungan ini,” katanya.
Gary berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke Tokong Pak Tiam Keong, 18 Oktober lalu.

Sementara itu penduduk, Michael Lim, 70, berkata, sikap mudah mesra dengan pelbagai lapisan masyarakat dan sentiasa terbuka mendengar suara rakyat mencerminkan kepimpinan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara itu yang mengutamakan keperluan rakyat.
“Beliau seorang yang mudah didekati dan tidak sombong malah sesiapa sahaja boleh menegur serta menyuarakan apa sahaja pandangan.
“Sebagai rakyat Melaka saya rasa amat bangga kerana mempunyai seorang pemimpin yang amat baik selain mengutamakan rakyat,” katanya.
Jelasnya, dibawah kepimpinan Ab Rauf pembangunan Melaka khususnya sektor pelancongan dan ekonomi semakin rancak apabila menerima peningkatan jumlah kedatangan pelancong.
“Ini dapat dilihat apabila pelancong dari China terutamanya datang dan hotel penuh. Ini amat bagus,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

