
KLINIK KESIHATAN FELDA BUKIT SENGGEH KINI LEBIH SELESA, RAWATAN BERKUALITI
ASAHAN 2 November – Penduduk Felda Bukit Senggeh kini menikmati perkhidmatan rawatan kesihatan dalam suasana yang lebih selesa selepas kerja-kerja menaik taraf Klinik Kesihatan Felda Bukit Senggeh, siap sepenuhnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Bukit Senggeh, Imran Lamin berkata, naik taraf klinik tersebut adalah antara yang diusahakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan.
Katanya, premis berkenaan pada asalnya adalah kediaman pegawai kerajaan sebelum ditukar fungsi menjadi klinik kesihatan sepenuhnya bagi memenuhi keperluan penduduk sekitar.
“Melihat kepada klinik kesihatan yang daif, Fairul Nizam atau mesra dengan panggilan YB Along membawa hal ini untuk diberi perhatian oleh pihak berkenaan, alhamdulillah permohonan bagi kerja menaik taraf diluluskan dalam Belanjawan 2023 dengan peruntukan sebanyak RM500,000.
“Naik taraf ini bukan sahaja menguntungkan penduduk tetapi memberikan suasana bekerja yang lebih selesa buat pegawai kesihatan di klinik berkenaan, kerja naik taraf siap sepenuhnya pada 2023,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan penting dalam usaha menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan berkualiti kepada masyarakat setempat.
“Dengan adanya klinik yang lebih selesa dan fasiliti rawatan mencukupi penduduk berasa lega malah penambahbaikan ini secara tidak langsung memberi manfaat kepada rakyat.
“Ini juga menunjukkan keprihatinan wakil rakyat yang begitu cakna terhadap keperluan serta kebajikan penduduk DUN ini,” katanya.
Jelasnya, YB Along turut memberi perhatian kepada pelbagai aspek pembangunan di Felda Bukit Senggeh, merangkumi antaranya kemudahan sukan, keagamaan, kesihatan dan kebajikan rakyat.
“Perubahan dan pembaharuan di Felda Bukit Senggeh menerusi pelaksanaan pelbagai projek yang memberikan manfaat kepada rakyat ianya menyeluruh, bukan ditumpukan kepada satu aspek sahaja.
“Antara yang sudah dilaksanakan adalah kerja membaiki bumbung kediaman lapan penduduk dan pemasangan pendingin hawa di Dewan Semai Bakti Felda Bukit Senggeh,” katanya.
Menurutnya, bagi memperkasakan aspek keagamaan, Fairul Nizam membantu mendapatkan sejumlah peruntukan bagi pembinaan Rumah Mengaji Sumayyah di tanah rizab Felda.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


