
DULU TANAH MERAH, SEKARANG BERTURAP, PENDUDUK TAMAN NYALAS BARU LEBIH SELESA
ASAHAN 29 Oktober – Urusan harian penduduk di lebih 300 kediaman di Taman Nyalas Baru kini lebih lancar apabila jalan menjadi antara laluan utama mereka dalam menyelesaikan urusan harian kini sudah siap diturap.
Jika sebelum ini penduduk terpaksa melalui jalan tanah merah yang kurang sempurna dan perjalanan mereka menjadi lebih sukar ketika musim hujan.
Rosram Lim Chai @ Ramli, 59 berkata, kerja menaik taraf dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan pembinaan laluan kecil dan akhirnya diturap pada tahun ini.
Katanya, penyediaan kemudahan selesa untuk rakyat itu adalah hasil daripada keprihatinan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan atau lebih dikenali sebagai YB Along.
“Alhamdulillah, sekarang sudah ‘ok’ perjalanan lancar, dulu cuma jalan kecil bertanah merah. Kami juga sudah lama mengharapkan kemudahan jalan yang lebih elok dan sempurna.
“Keadaan menjadi lebih sukar apabila ada penduduk yang mengadakan majlis tertentu, aliran kenderaan terganggu. Lokasi penganjuran majlis akan melibatkan penggunaan jalan,” katanya.
Menurutnya, penambahbaikan berkenaan bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah memberi keselesaan kepada ahli keluarga serta pengunjung yang datang dari luar taman berkenaan.
“Terima kasih kepada YB Along kerana membantu mendapatkan jalan ini. Sekarang penduduk lebih mudah untuk keluar masuk kawasan ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


