‘YB ALONG’ BANTU ROSMARIA BINA SEMULA KEHIDUPAN

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

ASAHAN 30 Oktober – Kehilangan suami menjadi titik perubahan besar dalam kehidupan Rosmaria Arshad, 43, namun keprihatinan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan sebelum ini Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan membuka jalan buat ibu tiga anak itu membina kehidupan lebih selesa di kediaman sendiri.

Menerusi Program Melaka Rumahku (PMR) Bina Baharu, Rosmaria kini mampu menarik nafas lega apabila tidak lagi dibebani bayaran sewa bulanan, selain menikmati kemudahan kediaman lebih dekat dengan tempat kerjanya.

Menurutnya, selepas kehilangan suami, dia terpaksa menguruskan sendiri pelbagai keperluan keluarga, termasuk urusan mendapatkan rumah yang sebelum ini banyak diselesaikan arwah suaminya.

“Memang rasa macam mimpi pun ada. Sebelum ini, arwah suami yang banyak menyelesaikan segala urusan, tetapi apabila dia sudah tiada, saya pula perlu galas tanggungjawab itu.

“Alhamdulillah, saya dipertemukan dengan orang yang banyak membantu dari awal hingga akhir. Saya tidak perlu pening memikirkan bagaimana hendak menguruskan semuanya kerana mereka membantu sehingga rumah ini siap,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Kampung Jus Permai.

Rosmaria berkata, keprihatinan Fairul Nizam yang juga mesra dengan panggilan YB Along bersama pihak terlibat bukan sahaja memudahkannya mendapatkan kediaman berkenaan, malah memberikan ketenangan sepanjang proses pembinaan berlangsung.

Katanya, setiap perkembangan pembinaan rumah dimaklumkan kepadanya secara berterusan sehingga kediaman itu siap dan boleh diduduki kira-kira tiga bulan lalu.

“Beliau sentiasa memberikan perkembangan mengenai proses pembinaan rumah ini. Setiap langkah dimaklumkan kepada saya, jadi saya tahu apa yang sedang dilakukan sehingga rumah ini siap dan boleh diduduki.

“Saya memang sangat berterima kasih atas segala bantuan yang diberikan,” katanya.

Selain memiliki kediaman sendiri, Rosmaria berkata, lokasi rumah baharunya yang lebih dekat dengan tempat kerja berbanding rumah sewa terdahulu di Kampung Jus turut memudahkan perjalanan harian.

Malah, dia turut menerima sumbangan menerusi pelbagai program yang diselaraskan wakil rakyat berkenaan bagi membantu meringankan beban kehidupan bersama anak-anak.

Sehubungan itu, Rosmaria berharap YB Along dapat terus diberi peluang berkhidmat sebagai wakil rakyat di Asahan bagi meneruskan usaha membantu masyarakat yang memerlukan.

Bagi Rosmaria, kediaman baharu itu bukan sekadar tempat berteduh, sebaliknya menjadi permulaan baharu untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anak dengan lebih tenang dan selesa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

668
Kongsi :
Previous post BARU 16 TAHUN SUDAH CIPTA REKOD, LI REN IDAM HADIAHKAN EMAS UNTUK NEGARA
Next post PRN MELAKA: RIDZUAN SEDIA BAWA SUARA RAKYAT BUKIT KATIL