
BARU 16 TAHUN SUDAH CIPTA REKOD, LI REN IDAM HADIAHKAN EMAS UNTUK NEGARA
BANDA HILIR 30 Oktober – Baru berusia 16 tahun, atlet muda Melaka, Tan Li Ren membuktikan usia bukan penghalang untuk mencipta kejayaan apabila memecahkan rekod acara jalan kaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Pencapaian itu menjadi detik membanggakan buat atlet yang menuntut di Sekolah Sukan Malaysia Pahang, sekali gus menyuntik semangat untuk terus memperbaiki prestasi dan memburu kejayaan di pentas antarabangsa.
Tan Li Ren mencatat masa satu jam 59 minit dalam acara berkenaan, hasil usaha dan pengorbanan sepanjang menjalani latihan bagi meningkatkan prestasinya.
“Saya sangat bersyukur dan bangga dengan diri sendiri kerana latihan penat yang saya lalui tidak sia-sia.
“Terima kasih juga kepada jurulatih Mohd Fauzi Sulaiman dan Ching Hong Zhang yang banyak berkorban untuk latihan saya. Saya berharap pada masa akan datang dapat menyertai pertandingan yang lebih besar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dia berkata demikian selepas menerima insentif berjumlah RM5,000 daripada Kerajaan Negeri pada Majlis Penyampaian Insentif Pemenang Pingat Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.
Insentif itu telah disampaikan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri yang merupakan wakil rasmi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh.
Anak muda itu berkata, insentif yang diterima daripada Kerajaan Negeri bukan sahaja menjadi penghargaan terhadap pencapaiannya, malah menyuntik motivasi untuk terus berusaha mencapai sasaran lebih tinggi.
Menurutnya, kejayaan yang diraih selain insentif diterima akan menjadi pembakar semangat untuk memperbaiki catatan masa, selain merealisasikan impian mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Saya berharap dapat mencatat masa yang lebih baik, mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa dan memenangi pingat emas untuk Malaysia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

