PRN MELAKA: ‘MUAFAKAT MELAKA’ JADI PENYATUAN PN, BN DAN NGO

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BUKIT KATIL 30 Oktober – Muafakat Melaka yang dilancarkan bagi menyatukan kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjadi pendekatan yang diketengahkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi PN Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerjasama itu merangkumi PN dan BN, selain NGO yang menyokong usaha penyatuan berkenaan, termasuk Muafakat Nasional.

“Yalah, semua sedia maklum bahawa pilihan raya di Melaka ini adalah dalam bentuk kerjasama muafakat politik di antara Perikatan Nasional dan Barisan Nasional.

“Begitu juga NGO-NGO yang menyokong kami, termasuk Muafakat Nasional dan lain-lain NGO yang bersama dalam kerjasama penyatuan ini. Jadi itu adalah merangkumi semua dalam Muafakat Melaka ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengisytiharan Calon PN PRN Melaka 2026 di Bukit Katil, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Presiden GERAKAN Datuk Seri Dominic Lau; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta lain-lain kenamaan.

Kerjasama berkenaan menyaksikan BN bertanding di 22 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN bertanding di enam kerusi pada PRN kali ini.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 November dan hari pengundian pada 14 November ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

442
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BUKAN IGAUAN, KEMENANGAN PN-BN DALAM JANGKAUAN – AHMAD SAMSURI