
PRN MELAKA: BUKAN IGAUAN, KEMENANGAN PN-BN DALAM JANGKAUAN – AHMAD SAMSURI
BUKIT KATIL 30 Oktober – Perikatan Nasional (PN) menyifatkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) sebagai peluang yang mampu dicapai dalam usaha meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengerusi PN Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, gabungan itu memasuki persaingan pilihan raya dengan matlamat untuk menang, selain yakin jentera parti sedang giat menggerakkan usaha bagi mencapai sasaran berkenaan.
“Insya-Allah, kita masuk bertanding untuk menang. Jadi itu perkara yang paling penting dan saya percaya jentera kita sedang bergerak ke arah itu.
“Dengan kerjasama muafakat Perikatan Nasional dan Barisan Nasional ini, saya percaya semua ini bukan igauan mimpi kita tetapi (kemenangan) dalam jangkauan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengisytiharan Calon PN PRN Melaka 2026 di Bukit Katil, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Presiden GERAKAN Datuk Seri Dominic Lau; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta lain-lain kenamaan.
Mengulas kemungkinan kemelut politik di Negeri Sembilan menjejaskan kerjasama PN dan BN di Melaka, Ahmad Samsuri berkata, perkembangan itu tidak memberi kesan terhadap persediaan kedua-dua gabungan menghadapi PRN kali ini.
“Tak, saya rasa ia tidak memberi kesan,” katanya.
PRN Melaka Ke-16 menyaksikan BN bertanding di 22 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN bertanding di enam kerusi selepas rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua pihak.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 November dan hari pengundian pada 14 November ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


