
PRN MELAKA: PAS BERTANDING DI PAYA RUMPUT DAN BUKIT KATIL
BUKIT KATIL 29 Oktober – PAS mengesahkan akan bertanding di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 yang dijadual berlangsung pada 14 November ini.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional PRN Melaka 2026 di Dewan Muallim Haji Abdul Wahid, di sini, malam tadi.
Dua calon berkenaan ialah Rafie Ahmad yang akan bertanding di N13 Paya Rumput dan Ridzuan Sarif bagi N17 Bukit Katil.
Pengumuman itu menyaksikan PAS bakal memberi tumpuan kepada dua kerusi berkenaan dalam usaha PN dan rakan kerjasama Barisan Nasional (BN) mendapatkan mandat menuju ke Seri Negeri.
PRN Melaka Ke-16 melibatkan 28 kerusi DUN susulan pembubaran DUN pada 23 September lalu bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari pengundian. Seramai 687,697 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini.
Pada PRN Melaka 2021, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 kerusi, Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi manakala PN memenangi dua kerusi DUN.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


