PRN MELAKA: MANIFESTO PN-BN DISELARAS, UMUM KETIKA KEMPEN – AHMAD SAMSURI

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BUKIT KATIL 29 Oktober – Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) akan menyelaraskan pendekatan pengumuman manifesto bersama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, dengan perincian mengenainya dimaklumkan kepada umum apabila tiba tempoh berkempen.

Pengerusi PN Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, masa dan kaedah pengumuman manifesto itu akan ditentukan berdasarkan strategi politik gabungan berkenaan sepanjang pilihan raya.

“Yang itu kita akan selaraskan dan bila tempoh berkempen mula, kita akan maklum kepada semua.

“Bila waktu yang sesuai untuk kita aturkan maklumat itu, sama ada saya bersama atau tidak untuk semua ini (umum manifesto) adalah strategi politik yang akan kita guna dalam pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengisytiharan Calon PN PRN Melaka 2026 di Bukit Katil, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Presiden GERAKAN Datuk Seri Dominic Lau; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta lain-lain kenamaan.

Mengulas mengenai kemungkinan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) diberikan peluang bertanding di kerusi yang belum diumumkan, Ahmad Samsuri berkata, semua keputusan itu akan dibuat di peringkat Majlis Tertinggi PN.

“Sebenarnya kami tiada permasalahan pun dengan apa-apa keputusan yang dibuat PN. Bila diputuskan di peringkat Majlis Tertinggi, kita terima sebulat suara. Tidak ada permasalahan.

“Kita masuk bertanding sebagai Perikatan Nasional dalam pilihan raya ini. Jadi mana-mana parti komponen layak bertanding di atas label Perikatan Nasional,” katanya.

Pada PRN Melaka Ke-16, kerjasama BN-PN menyaksikan BN akan bertanding di 22 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN bertanding di enam kerusi selepas rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua pihak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

770
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: ‘MUAFAKAT MELAKA’ JADI PENYATUAN PN, BN DAN NGO
Next post FAIRUL NIZAM MAHU TUNTASKAN ISU PENDUDUK ASAHAN