PRN MELAKA: RIDZUAN SEDIA BAWA SUARA RAKYAT BUKIT KATIL

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BUKIT KATIL 30 Oktober – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Ridzuan Sarif, bertekad menggalas amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab demi memperjuangkan kepentingan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Ridzuan berkata, pencalonannya membawa aspirasi untuk terus berkhidmat kepada rakyat Melaka, khususnya penduduk di Bukit Katil.

Beliau turut berharap diberikan kekuatan dan ketabahan untuk melaksanakan tanggungjawab itu, selain memohon doa serta sokongan rakyat agar diberi mandat mewakili suara penduduk di kawasan itu pada pilihan raya kali ini.

“Dengan izin Allah SWT, saya melangkah sebagai calon dengan membawa harapan, aspirasi dan suara rakyat. Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan serta mempermudahkan setiap urusan dalam perjuangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebook selepas diumumkan sebagai calon pada Majlis Pengisytiharan Calon PN PRN Melaka 2026 yang disempurnakan Pengerusi PN Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Muallim Haji Abdul Wahid, di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Hang Tuah turut berharap kepercayaan yang diberikan dapat menjadi asas untuk bersama-sama memacu masa depan yang lebih baik bagi kawasan berkenaan dan Negeri Melaka.

“Doa, sokongan dan kepercayaan daripada seluruh warga Bukit Katil amat saya harapkan. Bersama-sama kita melangkah, demi masa depan yang lebih baik untuk rakyat dan negeri tercinta,” katanya.

Hari penamaan calon PRN Melaka ditetapkan pada 31 Oktober, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 November dan hari pengundian pada 14 November ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

626
Kongsi :
Previous post ‘YB ALONG’ BANTU ROSMARIA BINA SEMULA KEHIDUPAN