
SASAR 125,000 HUFFAZ PROFESIONAL MENJELANG 2050
BANDARAYA MELAKA 24 Oktober – Kerajaan menyasarkan melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050 menerusi kesinambungan program Transformasi Nasional 2050 (TN50), dengan pencapaian semasa sudah mencecah kira-kira 12,500 orang.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu mewakili kira-kira 10 peratus daripada sasaran keseluruhan yang ditetapkan.
Beliau berkata, kerajaan yakin sasaran berkenaan dapat dicapai menerusi usaha memperluas peluang pendidikan kepada pelajar tahfiz dan sekolah pondok yang menghafaz al-Quran untuk melanjutkan pengajian dalam bidang profesional dan teknikal.
“Untuk 2027 sehingga 2050 kita akan pastikan ada penghantaran pelajar tahfiz dan sekolah pondok yang menghafal al-Quran ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta enam lagi Malaysian Technical University Network (MTUN).
“Dengan adanya penghantaran ini saya yakin ia (jumlah sasaran) akan dapat dicapai apatah lagi dengan kerjasama Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) untuk melahirkan jurutera serta golongan profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Huffaz Dan Apresiasi Kecemerlangan Ulul Albab, di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad dan Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Profesor Datuk Dr. Mizan Hitam.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, angka itu penting sebagai hala tuju, namun lebih diharapkan ialah lahirnya insan berilmu yang membawa nilai al-Quran ke tempat kerja, dalam masyarakat dan kepimpinan negara.
“Sebagai pengerusi saya terus memperjuangkan integrasi TVET Tahfiz dan Tahfiz TVET menerusi institusi MARA, GIATMARA, UniKL serta jaringan industri.
“Disiplin dan ketekunan yang terbina ketika menghafaz al-Quran ialah satu kekuatan dan kekuatan ini perlu dilengkapi latihan teknikal serta pengalaman industri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


