
PRN MELAKA: JANGAN BIAR BAHAN KEMPEN GANGGU PANDANGAN, ANCAM KESELAMATAN
BANDARAYA MELAKA 29 Oktober – Parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diingatkan supaya tidak memasang bendera, gegantung dan bahan kempen di lokasi berbahaya, khususnya persimpangan jalan yang boleh menjejaskan pandangan serta keselamatan pengguna jalan raya.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, semua parti politik dan individu yang terlibat dalam aktiviti kempen perlu memastikan bahan promosi dipasang di lokasi bersesuaian serta mematuhi peraturan ditetapkan.
Katanya, pemasangan bahan kempen secara tidak teratur, terutama di persimpangan jalan, berpotensi mendatangkan bahaya kepada orang awam dan tidak seharusnya dipandang ringan.
“Saya harap semua yang akan berkempen, termasuk individu dan semua parti politik, memastikan bahan kempen dipasang di lokasi yang sesuai dan tidak menjejaskan keselamatan orang awam dengan memasang gegantung di persimpangan sehingga mendatangkan bahaya kepada orang awam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Media dan Komuniti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah 2026 di sebuah hotel, di sini, pada Rabu.
Shadan berkata, MBMB boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang kecil yang berkuat kuasa sekiranya pemasangan bahan kempen tidak mematuhi arahan dan peraturan ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau berkata, parti politik yang memasang bahan kempen dalam kawasan pentadbiran MBMB perlu membayar deposit iklan sebanyak RM5,000 dan permit iklan pilihan raya sebanyak RM2,000.
Katanya, semua bahan kempen perlu diturunkan dalam tempoh seminggu selepas pilihan raya, manakala kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan deposit dilucutkan, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
“Jika mereka tidak menurunkan bendera selepas tempoh yang ditetapkan, deposit mereka boleh dilucutkan,” katanya.
Beliau berharap semua pihak mematuhi peraturan sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan suasana pilihan raya berlangsung dengan teratur tanpa menjejaskan keselamatan dan keselesaan masyarakat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


