FELCRA TANGGUNG YURAN PENGAJIAN ANAK PESERTA CEMERLANG – TPM

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 29 Oktober – FELCRA Berhad akan menanggung sepenuhnya yuran pengajian anak peserta yang memperoleh semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sehingga tamat pengajian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu bertujuan mengiktiraf kecemerlangan akademik anak peserta FELCRA, selain memastikan kekangan kewangan tidak menghalang mereka melanjutkan pengajian.

“Saya mengarahkan pengurusan FELCRA menanggung sepenuhnya yuran pengajian sehingga tamat pengajian bagi mereka yang memperoleh semua A dalam SPM atau PNGK 4.00 dalam STPM.

“Saya mahu kecemerlangan anak-anak ini diberikan pengiktirafan dan kekangan kewangan tidak boleh menjadi penghalang masa depan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih Interim 2/2026 Projek-Projek Peserta FELCRA Berhad di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang; Pengerusi FELCRA Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub; Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) Datuk Rozi Mamat; Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Datuk Zawawi Othman serta lain-lain kenamaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, perhatian terhadap pendidikan anak peserta turut diperkukuh menerusi Kolej FELCRA yang bekerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menawarkan program Diploma Pengurusan Industri Perladangan bagi melahirkan tenaga mahir dalam sektor berkenaan.

Menurutnya, Kolej FELCRA juga perlu memberi penekanan kepada program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian bagi menyediakan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran dalam bidang teknologi pertanian.

Beliau berkata, kerjasama dengan institusi latihan dan industri perlu terus diperkukuh supaya anak peserta bukan sahaja berpeluang mendapatkan pekerjaan, malah mampu menceburi bidang keusahawanan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

394
Kongsi :
Previous post BANTUAN DEEPAVALI BUKAN GULA-GULA PRN – AB RAUF
Next post EDRA SUMBANG RM40,000 BANTU 150 KELUARGA DI DUN TANJUNG BIDARA