FELCRA SEDIA BANTUAN KHAS PESERTA B40 TUNGGU HASIL TANAM SEMULA

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 29 Oktober – FELCRA Berhad diarahkan menyediakan bantuan khas kepada peserta kategori B40 yang terlibat dalam program tanam semula bagi membantu mereka menghadapi tempoh menunggu tanaman mengeluarkan hasil, khususnya menjelang sambutan Aidilfitri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kebajikan peserta perlu terus dipelihara sementara mereka menunggu pulangan daripada hasil ladang yang diusahakan.

“Saya mengarahkan FELCRA menyediakan bantuan khas sepanjang tempoh menunggu tanaman mengeluarkan hasil, dengan keutamaan khusus menjelang sambutan Aidilfitri.

“Kebajikan peserta mesti terus terpelihara, sementara menanti pulangan daripada hasil ladang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih Interim 2/2026 Projek-Projek Peserta FELCRA Berhad di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang; Pengerusi FELCRA Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub; Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) Datuk Rozi Mamat; Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Datuk Zawawi Othman serta lain-lain kenamaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada pendekatan membangunkan ekosistem FELCRA yang bukan sahaja memastikan tanah peserta menjana pulangan, malah menjaga pendapatan ibu bapa serta masa depan anak-anak mereka.

“Inilah kekuatan ekosistem FELCRA yang mahu kita bina dalam keluarga peserta – tanah terus memberikan pulangan, ibu bapa mempunyai pendapatan dan anak-anak memiliki kepakaran serta kebajikannya terjaga.

“Apabila ketiga-tiganya berkembang, keluarga mempunyai kemampuan yang lebih besar untuk mengubah taraf hidup mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

365
Kongsi :
Previous post EDRA SUMBANG RM40,000 BANTU 150 KELUARGA DI DUN TANJUNG BIDARA
Next post BEKALAN TENAGA STABIL KUNCI TARIK PELABURAN KE MELAKA – AB RAUF