TPM PUJI USAHA MELAKA PERLUAS POTENSI EKONOMI DESA

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER KEROH 29 Oktober – Usaha Kerajaan Negeri Melaka memperluas potensi sektor pertanian dan membuka peluang ekonomi kepada masyarakat desa menerima pujian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pembangunan sektor pertanian di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bukan sahaja memperkukuh sekuriti makanan negeri, malah membuka ruang kepada penduduk desa menjana pendapatan menerusi aktiviti pengeluaran, pengangkutan dan pemasaran hasil pertanian.

Menurutnya, projek sekuriti makanan negeri merekodkan pengeluaran 2,266 tan melibatkan tanaman seperti tembikai, nanas, jagung dan jambu batu, sekali gus menyediakan asas untuk memperluas kegiatan pertanian yang mempunyai permintaan pasaran.

“Usaha meningkatkan produktiviti dan memanfaatkan teknologi ini seiring dengan pembangunan yang sedang digerakkan di Melaka. Di bawah kepimpinan Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, sektor pertanian terus diberikan perhatian sebagai sumber pengeluaran makanan dan pendapatan masyarakat desa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih Interim 2/2026 Projek-Projek Peserta FELCRA Berhad di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang; Pengerusi FELCRA Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub; Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) Datuk Rozi Mamat; Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Datuk Zawawi Othman serta lain-lain kenamaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, cadangan Projek Baharu Padang Rimau di Gadek turut membuka peluang kepada FELCRA untuk membangunkan potensi tanah secara berkelompok.

Katanya, kesesuaian tanaman, kos pembangunan dan jangkaan pulangan perlu diteliti bagi memastikan tanah yang dibangunkan mampu memberikan pendapatan berdaya maju kepada pemiliknya.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha memperluas peluang ekonomi masyarakat desa perlu disokong pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk bagi membuka laluan kerjaya kepada anak-anak peserta FELCRA.

Ahmad Zahid berkata, hubungan antara pembangunan pertanian, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan penting bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati bukan sahaja peserta FELCRA, malah generasi muda dalam keluarga mereka.

Beliau yakin pembangunan sektor pertanian dan penerokaan potensi tanah secara terancang, disokong latihan kemahiran serta peluang pekerjaan, dapat meluaskan peluang ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat desa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

551
Kongsi :
Previous post LA21: MPJ CEMERLANG, PERKUKUH AGENDA KOMUNITI MAMPAN
Next post DULU TANAH MERAH, SEKARANG BERTURAP, PENDUDUK TAMAN NYALAS BARU LEBIH SELESA