
MAIM RAI LIMA PASANGAN MUALAF BINA MAHLIGAI
KOTA LAKSAMANA 29 Oktober – Lima pasangan mualaf dan saudara baharu Muslim diraikan dalam Majlis Pernikahan dan Walimatulurus Mualaf Negeri Melaka 2026 yang berlangsung di Laman Kaca, Tengkera, baru-baru ini.
Majlis anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) itu bukan sahaja meraikan penyatuan lima pasangan berkenaan sebagai suami isteri, malah menjadi ruang mengeratkan hubungan kekeluargaan serta memberi sokongan kepada mereka dalam membina kehidupan baharu sebagai Muslim.
Pada masa sama, ia juga bertujuan memperkukuh keimanan dan kefahaman mereka dalam ajaran Islam, selain bermatlamat untuk saling belajar dan memahami antara
satu sama lain bagi memupuk keharmonian dalam bermasyarakat.
MAIM dalam satu kenyataan memaklumkan, majlis itu dihadiri lebih 300 tetamu terdiri daripada ahli keluarga dan sanak saudara pasangan pengantin.
Menurut MAIM, pasangan yang mendirikan rumah tangga perlu memainkan peranan saling membimbing dan menguatkan pegangan akidah masing-masing, selain istiqamah dalam menjalani kehidupan berlandaskan ajaran Islam.
“Jagalah keluarga sebaiknya, jagalah akidah pasangan dengan penuh istiqamah serta bimbing dan pimpin tangan mereka menuju ke syurga,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, majlis pernikahan pasangan mualaf itu telah disempurnakan Pegawai Tadbir Agama (Kadi) Pejabat Agama Daerah Melaka Tengah, Mohd Fauzi Ibrahim.
Turut bersama meraikan pasangan pengantin ialah Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam MAIM, Mohd Nasir Wahab.
Pada majlis itu semua pasangan mualaf turut menerima cenderahati berupa RM1,000 daripada MAIM.
Selain itu, kesemua mereka juga akan mengikuti kursus pasca perkahwinan untuk lebih mendalami ilmu rumah tangga bersesuaian syariat agama.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


