PRN MELAKA: GERAK KERJA BN DI TELOK MAS SUDAH BERMULA AWAL

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

TELOK MAS 1 November – Persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas dimulakan lebih awal, dengan penyandangnya Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman telah melaksanakan kesemua 10 janji pilihan raya pada 2021.

Abdul Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Melaka berkata, persiapan awal sejak tahun keempat penggal pentadbiran itu bertujuan memastikan jentera pilihan raya sentiasa bersiap siaga menghadapi PRN kali ini.

“Umum mengetahui dalam negara setiap lima tahun sekali pasti akan ada pilihan raya. Untuk itu, pada tahun keempat saya sudah bersiap sedia.

“Justeru itu, dari segi jentera pilihan raya untuk PRN Melaka Ke-16 kita sudah bersedia,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program KPT SISWA UTeM Prihatin @ Melaka 2026 di Masjid Al-Wathoni, Bukit Larang, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, persediaan menghadapi pilihan raya bukan sekadar membabitkan kesiapsiagaan jentera, malah turut merangkumi penilaian terhadap janji yang dibuat kepada rakyat bagi memastikan pelaksanaannya dapat diteliti.

Menurutnya, kesemua 10 janji yang dibuat ketika PRN Melaka 2021 telah dilaksanakan, dengan pendidikan dan kebajikan rakyat menjadi antara keutamaan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Untuk DUN Telok Mas ini, saya telah laksanakan kesemua 10 janji yang dibuat semasa pilihan raya 2021 dulu. Antara yang utama adalah pendidikan serta kebajikan rakyat,” katanya.

Abdul Razak berkata, kedua-dua aspek itu menjadi asas penting dalam memastikan kesejahteraan penduduk serta membuka ruang kepada pembangunan yang lebih menyeluruh.

Katanya, kebajikan perlu diberikan perhatian bagi menjamin keselesaan rakyat, manakala pendidikan menjadi pelaburan penting untuk masa depan generasi akan datang.

Jelasnya, apabila kedua-dua aspek itu diberikan perhatian secara seimbang, usaha melaksanakan agenda lain untuk rakyat dapat dilakukan dengan lebih baik dan berkesan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

350
Kongsi :
Previous post TEKNOLOGI HIBRID BUKA DIMENSI BAHARU INDUSTRI AUTOMOTIF MELAKA
Next post PRN MELAKA: BN TIDAK JANJI BULAN BINTANG, SERAH RAKYAT NILAI REKOD CEMERLANG