
PRN MELAKA: 189 BORANG CALON DIBELI, 45 SUDAH BAYAR DEPOSIT – SPR
PAYA RUMPUT 30 Oktober – Sebanyak 189 borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 telah dibeli setakat malam tadi, manakala 45 individu sudah menjelaskan bayaran deposit bagi membolehkan mereka bertanding.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Haron berkata, sebanyak 28 pusat penamaan calon di seluruh negeri telah bersedia menerima bakal calon yang akan mengemukakan borang masing-masing esok.
Menurutnya, proses penyerahan borang penamaan calon akan berlangsung serentak di semua pusat berkenaan bermula jam 9 pagi hingga 10 pagi.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua bakal calon kita untuk hadir awal pada pagi esok ke semua pusat penamaan calon yang telah kita sediakan bagi memberi ruang untuk kita membuat semakan secara lebih terperinci.
“Kita tidak mahu ada masalah yang mungkin menyebabkan seseorang itu tidak dapat bertanding. Kita cuba elakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan di pusat penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Ballroom Stadium Hang Jebat, Krubong, di sini, hari ini.
Ramlan berkata, persiapan di semua pusat penamaan calon berada pada tahap memuaskan dengan operasi membabitkan 28 pegawai pengurus yang dibantu 80 penolong pegawai pengurus serta petugas lain.
Katanya, latihan kepada pegawai yang terlibat telah dilaksanakan sejak lebih setahun lalu bagi memastikan mereka memahami prosedur dan tanggungjawab masing-masing, termasuk pegawai yang pertama kali mengendalikan proses penamaan calon.
“Seperti di Paya Rumput ini, pegawai pengurusnya merupakan pegawai pengurus yang kali pertama, tetapi berdasarkan pemerhatian kita dalam simulasi pada hari ini, semuanya berjalan dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan penyokong yang hadir mengiringi bakal calon supaya mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan proses penamaan calon berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal.
Orang ramai juga diminta mengambil maklum kemungkinan penutupan jalan di sekitar pusat penamaan calon bagi melancarkan pergerakan serta mengelakkan kesesakan lalu lintas.
“Sama-sama kita berdoa semoga proses penamaan calon yang akan berjalan esok berlangsung dalam suasana yang aman, tertib, tenteram dan tiada sebarang gangguan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


