PRN MELAKA: PERTEMBUNGAN SATU LAWAN SATU DI DUN AYER MOLEK

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER MOLEK 31 Oktober – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek menyaksikan persaingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 apabila dua calon disahkan layak bertanding selepas proses penamaan calon selesai hari ini.

Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan calon baharu, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, manakala Pakatan Harapan (PH) diwakili Muhammad Hakimin Mokhtar bagi merebut mandat di kawasan berkenaan.

Ridhwan tiba di Pusat Penamaan Calon (PPC), Dewan Kompleks Japerun Ayer Molek kira-kira jam 8 pagi dengan diiringi Bendahari Agung BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ketibaan beliau disambut penyokong BN yang mula berhimpun seawal jam 7 pagi dengan membawa bendera dan sepanduk sebagai tanda sokongan.

Sementara itu, Muhammad Hakimin turut hadir bagi mengemukakan kertas penamaan calon mewakili PH dalam usaha mencabar BN bagi kerusi berkenaan.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Rizalman Syed mengesahkan kedua-dua calon layak bertanding selepas selesai proses semakan dan penelitian kertas penamaan calon kira-kira jam 10.30 pagi.

Pengesahan itu sekali gus membuka laluan kepada kedua-dua calon untuk memulakan kempen selama 14 hari bagi mendekati pengundi, mengetengahkan tawaran serta menjelaskan agenda masing-masing.

Pengundi DUN Ayer Molek akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat pada 14 November ini, manakala pengundian awal dijadualkan berlangsung pada 10 November.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

403
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: PERTEMBUNGAN DUA PENJURU DI N04 LENDU
Next post PRN MELAKA: RAIS CALON NOMBOR 3 SUNGAI UDANG