
PRN MELAKA: GEN Z HINGGA BOOMERS SATU PENTAS REBUT MANDAT RAKYAT
AYER KEROH 31 Oktober – Perbezaan usia 42 tahun memisahkan calon termuda dan tertua yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Ia sekali gus memperlihatkan persaingan melibatkan generasi berbeza dalam usaha merebut mandat rakyat.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun berkata, calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah, 24, yang bertanding di DUN Kuala Linggi direkodkan sebagai calon termuda.
Katanya, Mohamad Jaafar, 66, yang bertanding di DUN Telok Mas muncul calon tertua pada pilihan raya ini.
“Daripada keseluruhan 79 calon yang disahkan bertanding, hanya dua calon berada dalam lingkungan usia 18 hingga 29 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka Ke-16 Hari Penamaan Calon di Menara Persekutuan, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh serta kenamaan lain.
Tambahnya, perbezaan usia itu memperlihatkan kepelbagaian latar generasi dalam kalangan calon yang bertanding, dengan masing-masing membawa pengalaman, pendekatan dan perspektif tersendiri dalam usaha mendapatkan kepercayaan pengundi.
“Seramai lapan calon pula berusia 60 tahun ke atas, manakala kumpulan berusia 40 hingga 49 tahun mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 33 calon.
“Seramai 22 calon berusia antara 50 hingga 59 tahun, diikuti 14 calon berumur 30 hingga 39 tahun,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


