PRN MELAKA: MCA TANDING EMPAT KERUSI BUKTI KESEPAKATAN BN – AHMAD ZAHID

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

TANJUNG BIDARA 31 Oktober – Kepercayaan kepada MCA bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 membuktikan kesepakatan dalam Barisan Nasional (BN) terus utuh meskipun sebelum ini timbul spekulasi kononnya parti komponen itu mahu memboikot pilihan raya berkenaan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan memberikan empat kerusi kepada MCA sekali gus memperlihatkan semangat kebersamaan parti komponen dalam menghadapi pilihan raya negeri kali ini.

Menurutnya, spekulasi kononnya MCA merajuk sehingga enggan menyertai PRN Melaka ternyata tidak berlaku selepas pembahagian kerusi dimuktamadkan.

“Ini adalah merupakan satu manifestasi kebersamaan di mana ramai yang menjangkakan kononnya MCA mahu memboikot Pilihan Raya Negeri Melaka ini ataupun sekurang-kurangnya mereka merajuk tetapi tidak berlaku begitu.

“Sebaliknya, MCA telah diberikan empat kerusi dan kita lihat bahawa di Melaka ini pengundi-pengundi harus melihat kepada prestasi kerajaan negeri yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Dr. Rauf Yusoh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh pada proses penamaan calon bagi kerusi DUN N.02 Tanjung Bidara di Dewan Datuk Kapt (B) Hj. Ab. Karim, Kompleks Japerun Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, MCA turut diberi peluang menawarkan calon di Kota Laksamana dan Bandar Hilir yang sebelum ini dimenangi DAP dengan majoriti besar.

Katanya, jentera BN akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan di kerusi yang ditandingi atau sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti pihak lawan.

“Ya, di Kota Laksamana dan juga di Bandar Hilir, kita berikan peluang kepada MCA untuk menawarkan diri dan kita di dalam kesepakatan ini akan bekerja keras untuk menentukan kesemua kerusi yang kita tandingi itu memperoleh kemenangan atau sekurang-kurangnya di kerusi-kerusi yang kita kalah dulu kita mengurangkan majoriti mereka,” katanya.

Untuk rekod, pada PRN Melaka Ke-15 pada 2021, DAP memenangi Kota Laksamana dengan majoriti 11,494 undi menerusi Low Chee Leong yang memperoleh 13,508 undi berbanding calon BN-MCA, Low Chin Hong yang meraih 2,014 undi.

Di Bandar Hilir pula, calon DAP, Leng Chau Yen menang dengan majoriti 7,778 undi selepas memperoleh 9,091 undi, manakala calon BN-MCA, Lee Kah Sean meraih 1,313 undi.

Terdahulu, MCA mengesahkan pencalonan di empat kerusi DUN iaitu Machap Jaya, Kelebang, Bandar Hilir dan Kota Laksamana selepas rundingan pembahagian kerusi antara BN dan Perikatan Nasional (PN) dimuktamadkan.

Dua kerusi tambahan itu menyaksikan MCA mempertaruhkan Jasmine Lok Huey Yee di Bandar Hilir dan Melvin Chua Kew Wei di Kota Laksamana.

Secara keseluruhan, BN bertanding di 23 daripada 28 kerusi DUN Melaka, manakala baki lima kerusi diperuntukkan kepada PN.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

479
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: GEN Z HINGGA BOOMERS SATU PENTAS REBUT MANDAT RAKYAT
Next post 79 CALON BERTANDING PRN MELAKA KE-16 – SPR